بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Sudah lama Tedi tidak mengkaji peribahasa Melayu. Kali ini Tedi meluangkan masa dan mengerah tenaga untuk mengkaji dan menaip peribahasa Melayu yang berkaitan dengan muafakat. Peribahasa muafakat ini telah dirisik oleh 4 kawan Tedi di tingkat 53 dan 76.

Berikut disenaraikan peribahasa yang berkaitan dengan muafakat:

  1. Bingung tengkar, cerdik begar
  2. Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat
  3. Buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat
  4. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat
  5. Ganti hidup berkeredaan, ganti mati berkebulatan
  6. Habis adat kerana kerelaan
  7. Hendaklah seperti tembikar, pecah satu pecah semuanya
  8. Hilang adat tegal muafakat
  9. Muafakat lalu di dalam gelap, adat lalu di tengah terang
  10. Pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama

Bingung tengkar, cerdik begar

Orang yang sukar diajak muafakat.

tengkar = bantah, cekcok;

begar = susah, keras.

Bulat air oleh pembuluh, bulat kata oleh muafakat

Untuk melakukan sesuatu pekerjaan supaya selamat maka hendaklah berunding dulu.

Maksud "pembuluh" dalam peribahasa ini ialah sesuatu yang menyerupai buluh bentuknya (berongga dan bulat seperti paip air) menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua.

Buruk dibuang dengan rundingan, baik ditarik dengan muafakat

Tiap-tiap kejadian buruk dapat diselesaikan bila kedua belah pihak bersedia untuk berunding atau bermesyuarat.

Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat

Maksud peribahasa ini ialah apa yang hendak dikerjakan baik dibincangkan dulu bersama kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat.

Ganti hidup berkeredaan, ganti mati berkebulatan

Mencari ganti seseorang ketua harus dengan muafakat.

reda = rela, senang hati.

Habis adat kerana kerelaan

Adat dapat diubah atau ditiadakan oleh muafakat, dengan persetujuan atau perdamaian.

Hendaklah seperti tembikar, pecah satu pecah semuanya

Hendaklah hidup dalam muafakat; senang sama-sama senang, susah sama-sama susah.

Hilang adat tegal muafakat

Adat kebiasaan boleh diubah asalkan ada persetujuan orang banyak.

tegal = kerana, oleh sebab

Nampaknya masyarakat pada zaman dahulu sama juga seperti pada masa kini di mana adat boleh diubah, sama juga kita sekarang juka mahu ubah perlembagaan negara boleh sahaja asalkan mendapat sokongan majoriti.

Muafakat lalu di dalam gelap, adat lalu di tengah terang

Peribahasa ini bermaksud seia sekata melakukan pekerjaan yang berat-berat dan patuh pada peraturan yang telah ditetapkan.

Pisang sesikat gulai sebelanga, tanda muafakat bersama-sama

Suka bertolong-tolongan satu sama lain.

 


~20220524~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih