بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


logo peribahasa melayu keluarga dengan simbol tiga individu mewakili mak ayah anak

Alhamdulillah, Tedi menaip kembali.

Tugasan kerja sekolah Tedi kali ini adalah untuk mengkaji "peribahasa keluarga". Peribahasa keluarga adalah sebarang peribahasa Melayu yang boleh digunakan untuk memperihalkan tentang hubungan keluarga.

Tanpa berceloteh lebih panjang, Tedi akan terus senaraikan peribahasa tentang hubungan keluarga itu mengikut turutan abjad. Hampir kesemua peribahasa berkaitan keluarga ini bersumberkan Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.


Kandungan


Peribahasa keluarga bahagia

Peribahasa yang boleh digunakan untuk keluarga bahagia atau keluarga harmoni ialah:

  1. Padi setangkai bernas semuanya
  2. Pisang masak separak

Peribahasa Memalukan Ibu Bapa atau Keluarga

Peribahasa yang berkaitan dengan perbuatan memalukan keluarga atau ibu bapa ialah:

  1. Mencukur kepala

Peribahasa Perselisihan Faham dalam Keluarga

Peribahasa yang berkaitan dengan perselisihan faham atau pergaduhan dalam keluarga.

  1. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga
  2. Cencang air tidak putus, pancung abu tak berbekas
  3. Degar-degar merapati

Maksud "anak tiri"

"Anak tiri" adalah salah-satu istilah yang sering digunakan dalam peribahasa tentang keluarga. Berikut disenaraikan beberapa maksud anak tiri daripada kamus-kamus Bahasa Melayu:

  1. anak kepada isteri atau suami (seseorang) daripada perkahwinannya yang terdahulu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
  2. anak kepada isteri atau suami daripada perkahwinan yang terdahulu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
  3. anak kepada suami atau isteri hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu (bukan darah daging sendiri); (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Senarai Peribahasa tentang Keluarga

  1. Anak kandung ditimang-timang, anak tiri ditengking-tengking

  2. Anak sendiri disayang, anak tiri dibengkeng

  3. Beruang bagai durian, bernabu bagai cempedak
    • Maksud peribahasa: Keluarga atau sahabat handai yang sudah terpisah jauh.
    • ruang = alur; beruang = mempunyai alur, beralur.
    • nabu = isi yang menempel pada bijinya.
    • Komen Tedi: mati-mati Tedi sangkakan "beruang" yang dimaksudkan tu saudara Tedi. 
  4. Busuk daging dikincah, dimakan; busuk ikan, dibuang
    • Bagaimana sekalipun kejahatan saudara atau keluarga itu, tiada sampai hati menyalahkannya seperti kita menyalahkan orang lain.
    • kincah = mengirai cucian dalam air, membersihkan.
  5. Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga

  6. Cencang air tidak putus, pancung abu tak berbekas

    • Perselisihan sesama keluarga itu akhirnya akan berbaik kembali.
    • peribahasa lain yang sama makna: Carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga.
  7. Degar-degar merapati

    • Maksud peribahasa: Perselisihan antara kaum keluarga atau suami isteri yang makin merapatkan perhubungan.
    • degar-degar = bunyi kayu dipukul.
  8. Elok kata dalam muafakat, buruk kata di luar muafakat
    • Apa yang hendak dikerjakan baik dibicarakan dulu dengan kaum keluarga dan sebagainya supaya pekerjaan itu selamat.
  9. Getikkan puru di bibir
    • Tak dapat membencikan anak isteri atau keluarga yang buruk kelakuannya.
    • getik = menggetil.
  10. Hinggap mencengkam (dahan), terbang menumpu (dahan).
    • Jika merantau hendaklah mencari keluarga atau kawan kenalan tempat menumpangkan diri.
    • Bandingkan dengan:
      • Datang nampak muka, pergi nampak belakang,
      • Datang tampak muka, pulang tampak punggung
    • Peribahasa lain yang sama makna: Terbang bertumpu, hinggap mencengkam.
  11. Hutan jauh diulangi, hutan dekat dikendana
    • Harta-benda (kaum keluarga) baik jauh ataupun dekat, hendaklah selalu dijaga.
    • kendana = dijaga, diamat-amati.
  12. Ibarat perahu takkan karam sebelah
    • Maksud peribahasa: Kaum keluarga ikut bersimpati atas kecelakaan yang menimpa kerabatnya.
  13. Kalau digali tanah berbingkah, tanah berderai yang akan bertemu

    • Sesuatu perselisihan dalam kalangan keluarga, usahlah dicari siapa yang benar dan siapa yang salah, tetapi carilah jalan untuk menyelesaikannya dengan baik.
  14. Kalau sesangkar sekalipun, yang bayan itu bayan juga; serindit, serindit juga
    • Manusia itu tetap berbeza, sekalipun berasal daripada satu keluarga.
  15. Kasihkan pinang sebatang daripada aur serumpun
    • Lebih sayang kepada orang lain daripada kaum keluarga sendiri.
  16. Kerana sabut tebal, tempurungnya pun menjadi kebal.
    • Orang yang banyak kaum keluarga dan sahabat handainya selamatlah hidupnya.
  17. Kita semua mati, tetapi kubur masing-masing
    • Masing-masing orang dengan pembawaan dan cara hidupnya yang tersendiri, meskipun berkaum keluarga
    • Versi lain: Kita sekalian mati, tetapi kubur masing-masing
  18. Kuah tertunggang ke nasi, nasi akan dimakan juga
    • Perkahwinan antara kaum keluarga sendiri.
  19. Lepas bantal berganti tikar
    • Kahwin dengan saudara atau keluarga isteri yang sudah meninggal.
  20. Melentur dahan dek meluyut buahnya
    • Kesusahan keluarga yang banyak anaknya.
    • meluyut = melentur ke bawah.
  21. Mencampakkan batu keluar
    • Lebih suka berbuat baik kepada orang lain daripada kepada keluarga sendiri.
  22. Menjemur bangkai ke atas bukit
    • Memperlihatkan aib dan cela diri dan kaum keluarga sendiri.
  23. Memancing dalam belanga
    • Mencari keuntungan dalam lingkungan keluarga atau kawan sendiri.
    • Peribahasa lain yang sama makna: Memepas dalam belanga.
  24. Memepas dalam belanga
    • Mencari keuntungan dalam lingkungan keluarga atau kawan sendiri.
    • Peribahasa lain yang sama makna: Memancing dalam belanga
    • pepas = kail, pancing.
  25. Mencabik baju di dada
    • Menceritakan aib kaum keluarga sendiri.
  26. Mencabut dari limbahan
    • Membela (menutup) malu salah seorang kaum keluarga yang telah buruk namanya.
  27. Mencukur kepala

    • Maksud peribahasa: Perbuatan yang memalukan kaum keluarga (termasuk juga memalukan ibu bapa).
  28. Menghadapkan bedil pulang
    • Maksud peribahasa: Mencelakakan kaum keluarga sendiri.
    • Peribahasa lain yang sama makna: Menggunting dalam lipatan.
  29. Menghubung hendak panjang, menyebar hendak lebar
    • Perkahwinan yang akan menambahkan keluarga di kedua belah pihak.
  30. Nan berseluk urat, nan berjumbai akar, nan berlambai pucuk.
    • Kaum keluarga itu sekalipun sudah berjauhan tetapi perhubungan masih tetap ada.
    • seluk = lilit, belit;
    • lambai = berayun-ayun turun naik.
  31. Padi setangkai bernas semuanya

    • Maksud peribahasa "padi setangkai bernas semuanya" ialah keluarga yang hidupnya beruntung dan berbahagia.
    • maksud bernas ialah "berisi penuh".
    • Komen Tedi: patutlah Beras Nasional menggunakan nama Bernas untuk singkatan, memang ada kena mengena dengan padi rupa-rupanya.
  32. Parak awak sajalah siangi.
    • Jagalah diri sendiri atau kaum keluarga saja, jangan dihiraukan hal orang lain.
  33. Pinggan dengan mangkuk, salah sedikit hendak terantuk.
    • Suami isteri, kaum keluarga, sahabat handai, ada kalanya berselisih juga.
    • Peribahasa lain yang sama makna:
      • Salangkan lidah lagi tergigit oleh gigi
      • Senduk dan periuk lagi berantuk
      • Senduk dengan belanga lagi berlaga
  34. Pisang masak separak

    • Maksud peribahasa: Keluarga yang senang dan berbahagia hidupnya.
  35. Potong hidung rosak muka
    • Berbuat kurang baik terhadap kaum keluarga maka kita sendiri akan mendapat malu juga.
  36. Salangkan lidah lagi tergigit oleh gigi.
    • Suami isteri, kaum keluarga, sahabat handai, ada kalanya berselisih juga.
    • Peribahasa lain yang sama makna:
      • Pinggan dengan mangkuk, salah sedikit hendak terantuk
      • Senduk dan periuk lagi berantuk
      • Senduk dengan belanga lagi berlaga
  37. Sebab kasih akan bunga setangkai, dibuang bunga seceper
    • Kerana sayang pada seorang saja, disia-siakan keluarga yang banyak.
  38. Sebagai di rumah induk bako.
    • Merasa aman dan tenteram.
    • bako = sekalian keluarga daripada pihak bapa.
  39. Seberat-berat beban, di atas kepala juga.
    • Kitalah yang menanggung nafkah keluarga sendiri, orang lain hanya sekadar melihat saja.
  40. Sebusuk-busuk telunjuk, telunjuk juga pencolek tahi mata.
    • Sejahat-jahat kaum keluarga (sanak saudara), kalau salah seorang di antaranya dihinakan, maka semuanya akan ikut membela (mempertahankannya).
  41. Senduk dan periuk lagi berantuk
    • Suami isteri, kaum keluarga, sahabat handai, ada kalanya berselisih juga.
    • Peribahasa lain yang sama makna:
      • Pinggan dengan mangkuk, salah sedikit hendak terantuk
      • Salangkan lidah lagi tergigit oleh gigi
  42. Senduk dengan belanga lagi berlaga
    • Suami isteri, kaum keluarga, sahabat handai, ada kalanya berselisih juga.
    • Peribahasa lain yang sama makna:
      • Pinggan dengan mangkuk, salah sedikit hendak terantuk
      • Salangkan lidah lagi tergigit oleh gigi
      • Senduk dan periuk lagi berantuk.
  43. Seutas rotan ditarik, bergegar hutan belukar; riuh bunyi kera dan lotong
    • Jika seseorang anggota keluarga mendapat aniaya maka marahlah sekalian kaum keluarganya dan sekalian sahabat handainya.
  44. Tali terentang tidak putus, sangkutan tergantung tidak rekah
    • Pertalian keluarga kerana perhubungan perkahwinan.
  45. Tangan yang celaka kerja jatuh.
    • Mendapat kerugian kerana perbuatan anggota keluarga yang tidak bertanggungjawab.
  46. Terbang bertumpu, hinggap mencengkam
    • Jika merantau hendaklah mencari keluarga atau kawan kenalan tempat menumpangkan diri.
    • Peribahasa lain yang sama makna:
      • a. Hinggap mencengkam [dahan], terbang menumpu [dahan]
    • Bandingkan dengan:
      • Datang nampak muka, pergi nampak belakang.
      • Datang tampak muka, pulang tampak punggung.
  47. Tercencang puar, bergerak andilau
    • Jika orang dihinakan atau mendapat bencana, keluarga atau kaumnya akan merasa tersinggung atau merasa gusar juga.
      • andilau = sama dengan puar tetapi lebih besar.
  48. Tidak resan kunyit, resan serai
    • Maksud peribahasa: Tidak ada perhubungan keluarga walaupun dulunya kelihatan sebagai satu keluarga (orang-orang yang berselisih).
    • resan = rasa dengan lidah.
  49. Tumbuh di tanah yang gembur
    • Anak gadis dari keluarga yang mewah-mewah.

Diterbitkan pada 20210830, karangan ini adalah untuk menjawab pertanyaan 6 orang kawan mengenai peribahasa yang berkaitan dengan hubungan keluarga. Kedudukan pertanyaan adalah pada 41, 51, 55 dan 73.


Rujukan: https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=keluarga 


~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih