Penyokong EPL Malaysia berentap termasuklah Toon Army Malaysia
Halim (belakang, tujuh dari kiri) bersama wakil daripada kelab menyokong sebelum kejohanan futsal bermula, semalam. Penyokong EPL Malaysia berentap termasuklah Toon Army Malaysia.

BAGI meneruskan kehangatan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sudah menutup tirai musim ini, Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) mengambil inisiatif menaja kejohanan futsal antara kelab penyokong, semalam.

Kejohanan yang digelar Kejohanan Futsal Kelab Penyokong EPL Edisi ke-5 itu menarik minat 16 pasukan daripada 11 kelab penyokong rasmi di Malaysia.

Kelab itu antaranya Malaysia Red Devils (Manchester United), Arsenal Malaysia, KL Kopites (Liverpool), Kelab Penyokong Manchester City Malaysia, Toon Army Malaysia (Newcastle United), Malaysian Blue Army Supporters (Chelsea) dan Blackburn Rovers Supporters Malaysia.

“MCCF sememangnya menyokong penganjuran kejohanan seperti ini sebagai langkah mempromosikan perpaduan dan penyatuan melalui sukan,” kata Pengerusi MCCF, Halim Ishak.

Dalam kejohanan itu, KL Kopites muncul sebagai juara selepas menumpaskan Malaysian Blue Army Supporters di pentas final.

Tempat ketiga pula milik Kelab Penyokong Manchester City Malaysia.

Selain piala kejohanan dan medal, setiap pemenang juga meraih tiket EPL Masters Tour 2015 yang menampilkan barisan pemain legenda dari Liverpool dan Manchester United dalam aksi di Stadium Shah Alam, 30 Ogos nanti.

 

NURUL RIDUAN NOR ASHAHA, 31 MEI 2015, 20150531