KUALA LUMPUR: Kedah terus mengukuhkan tempat di tangga kedua Liga Super selepas membenam Sabah 3-1 pada aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan penting itu membolehkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak itu memintas Perak dan berkelebihan dua mata mengatasi skuad The Bos Gaurus itu dengan saingan berbaki tiga perlawanan lagi.

Sabah pula kekal di zon penyingkiran dengan enam mata, ketinggalan satu mata di belakang FELDA United dan PJ City FC.

Pada aksi terbabit, gol pembukaan hanya hadir ketika perlawanan memasuki hampir setengah jam apabila tandukan Kpah Sherman yang menyudahkan hantaran lintang Tchetche Kipre sekali gus membolehkan Kedah mendahului permainan pada minit ke-26.

Bagaimanapun, kegembiraan Kedah hanya bertahan seminit apabila serangan balas pantas yang dilancarkan Sabah daripada sepak mula disudahkan Dennis Buschening untuk gol penyamaan pelawat pada minit ke-27.

Memasuki babak kedua, Kedah terpaksa menunggu sehingga minit ke-70 untuk memperolehi gol kedua menerusi penyudah Kipre sebelum gerakan lincah Fayyadh Zulkifli lima minit berselang membolehkan Kedah terus selesa mendahului 3-1.

20200921-2308

Sumber:

Kedah benam Sabah aksi Liga Super | Oleh Syafiq Aznan | syafiq.aznan@bh.com.my | September 21, 2020 @ 11:08pm