ALOR SETAR: Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar mahu semangat skuad Lang Merah terus kekal membara dalam usaha memburu kemenangan kelima pada aksi Liga Super menentang Sabah Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras malam esok.

"Momentum dan semangat kemenangan yang kami perolehi sebelum ini akan kami bawa ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk berdepan Sabah bagi meneruskan perjuangan memburu kemenangan kelima.

"Setiap perlawananan yang dihadapi termasuk menentang Sabah itu, kami tidak pandang mudah. Malah kami akan terus bekerja keras untuk mencapai kemenangan" katanya mengulas pertemuan berkenaan.

Baddrol berkata Kedah yang kini berada pada kedudukan kedua dalam carta Liga Super perlu menyerap setiap cabaran yang dihadapi skuad Lang Merah tanpa memikirkan saingan pasukan lain.

"Bagi saya, itu satu cabaran untuk kami tempuh pada masa ini. Kedudukan di tangga kedua itu juga satu motivasi buat kami memastikan Kedah kekal berada pada kedudukan tiga terbaik dalam saingan Liga Super musim ini," katanya.

Dalam pada itu, pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak mengesahkan pemain pertahanan Kedah, Renan Alves dijangka kembali memperkuatkan pasukan berdepan Sabah malam esok.

"Kehadiran Alves bakal memberi kekuatan tambahan di ruang pertahanan dari segi fizikal. Ini penting kerana Sabah juga memikili corak serangan yang bahaya. Gandingan beliau dan pemain lain dibarisan jentera pertahanan sangat diperlukan dalam perlawanan seterusnya," katanya.

20200920

Sumber daripada BH Online melalui artikel bertajuk:

Baddrol mahu semangat Lang Merah terus membara

AHAD, 20 SEPTEMBER 2020 @ 8:27 PM