بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
Hari ini Tedi mahu mengulangkaji peribahasa yang berkaitan atau mengandungi perkataan berani. Banyak juga peribahasa yang ditemui, ada 35 kesemuanya.
Menariknya kesemua peribahasa berani ini boleh dikategorikan seperti berikut:
- Berani kerana prinsip atau keyakinan diri.
- Berani kerana marah atau berada dalam keadaan terdesak.
- Berani bertanggungjawab atas perbuatan atau kata-kata.
- Berani bersaing atau melawan.
- Berani walaupun masih muda, bersaiz kecil atau berpangkat rendah
- Berani bersusah-payah demi mencapai matlamat.
- Pura-pura berani.
- Penakut
Senarai peribahasa berani ialah:
- Anak harimau takkan menjadi anak musang jebat, anak kambing takkan menjadi anak harimau.
- Anjing galak, babi berani.
- Barang siapa berani mengamang, tak dapat tidak berani melawan juga.
- Berasak-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.
- Berani hilang tak hilang, berani mati tak mati.
- Berani kerana benar, takut kerana salah.
- Berani menjual berani membeli, berani pegang berani tanggung.
- Berani senduk pengedang, air hangat direnanginya.
- Di reban sendiri melegas, di reban orang merompok.
- Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
- Jalan mati lagi dicuba, inikan pula jalan binasa.
- Jerih menentang laba, rugi menentang laba.
- Jika diturut hati yang geram, hilang takut timbul berani.
- Kaki terdorong badan merasa; lidah terdorong emas padahannya.
- Kaki tertarung inai padahannya, mulut terdorong emas padahannya.
- Kayu yang tumbang, kura-kura pun hendak memanjatnya.
- Kecil-kecil cabai rawit.
- Kecil-kecil cili Melaka.
- Kecil-kecil anak harimau.
- Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung.
- Malu berani, mati takut.
- Membebek kambing lari ke hutan, menyalak anjing lari ke kota.
- Membulang ayam indarus rancak kokok.
- Rugi menentang laba, jerih menentang boleh.
- Tajam pisau kerana diasah.
- Takkan ada katak beranakkan ular.
- Tertangkap di ikan kalang.
- Tegak pada yang datar.
- Terbulang ayam betina.
- Tiada tertikam tuah oleh berani.
- Tunggang hilang berani mati.
- Tunggang hilang, tak hilang.
- Turut hati yang geram, hilang takut tinggal berani.
- Ugut-ugut beruk saja.
Anak harimau takkan menjadi anak musang jebat, anak kambing takkan menjadi anak harimau.
Maksud peribahasa: Orang yang berani takkan menjadi penakut.
Contoh ayat: Walaupun berhadapan dengan tekanan yang besar, dia tetap tidak mengundur kerana kita tahu, anak harimau takkan menjadi anak musang jebat, anak kambing takkan menjadi anak harimau—semangat juangnya tidak pernah luntur.
Anjing galak, babi berani.
Maksud peribahasa: Bertemu lawan yang sepadan; berani sama berani, keras sama keras.
Contoh ayat: Perlawanan akhir tinju itu pasti sengit kerana kedua-dua petinju itu sangat handal, ibarat anjing galak, babi berani.
Barang siapa berani mengamang, tak dapat tidak berani melawan juga.
Maksud peribahasa: Berani berkata, tentulah berani berbuat. mengamang = menakut-nakuti.
Contoh ayat: Jangan hanya pandai mengancam, buktikan kata-kata itu di mahkamah, kerana barang siapa berani mengamang, tak dapat tidak berani melawan juga.
Berasak-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.
Maksud peribahasa: Supaya mendapat kesenangan kelak, harus berani bersusah payah dahulu.
Contoh ayat: Kami perlu berusaha keras dalam latihan ketenteraan ini kerana kami percaya pepatah, berasak-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian.
Berani hilang tak hilang, berani mati tak mati.
Maksud peribahasa: Siapa yang berani akhirnya akan menang juga.
Contoh ayat: Jeneral itu memberi semangat kepada tenteranya, mengatakan bahawa jika kita berjuang dengan keazaman, berani hilang tak hilang, berani mati tak mati.
Berani kerana benar, takut kerana salah.
Maksud peribahasa: Bertindak kerana berada di pihak yang benar.
Contoh ayat: Saya tidak gentar menghadapi siasatan itu kerana saya yakin pada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah.
Berani menjual berani membeli, berani pegang berani tanggung.
Maksud peribahasa: Barang siapa berani menganjurkan, harus berani mengerjakannya.
Contoh ayat: Dia menyarankan projek berisiko tinggi itu, jadi dialah yang perlu memikul kegagalan jika berlaku kerugian, kerana berani menjual berani membeli, berani pegang berani tanggung.
Berani senduk pengedang, air hangat direnanginya.
Maksud peribahasa: Berani dengan membuta tuli.
senduk pengedang = senduk pencedok air panas dari periuk.
Contoh ayat: Tindakannya melabur semua wang simpanannya tanpa kajian menunjukkan dia berani senduk pengedang, air hangat direnanginya.
Di reban sendiri melegas, di reban orang merompok.
Maksud peribahasa: Berani di rumah sendiri, tetapi takut di tempat orang.
melegas (ligas) = berlari dengan mengangkat kaki kanan (seperti kuda);
merompok = duduk merungkuk.
Contoh ayat: Dia lantang mengkritik rakannya di pejabat tetapi diam di hadapan pihak atasan, memanglah sikapnya di reban sendiri melegas, di reban orang merompok.
Hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai / Hendak kaya berdikit-dikit, hendak mulia bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
Maksud peribahasa: Hemat tangga kekayaan, murah hati tangga tuah, banyak lawan mendatangkan berani.
Contoh ayat: Kata nenek, untuk berjaya dalam hidup, ingatlah, hendak kaya berdikit-dikit, hendak tuah bertabur urai, hendak berani berlawan ramai.
Jalan mati lagi dicuba, inikan pula jalan binasa.
Maksud peribahasa: Orang yang berani dan tidak memilih perbuatannya.
Contoh ayat: Walaupun telah dinasihati berkali-kali, dia tetap memilih jalan hidup yang merosakkan; sungguh, jalan mati lagi dicuba, inikan pula jalan binasa.
Jerih menentang laba, rugi menentang laba.
Maksud peribahasa: Suka menolong kerana ingin mendapat pertolongan pula; berani bersusah payah tentu akan mendapat keuntungan.
Contoh ayat: Setiap usahawan harus mempunyai keyakinan bahawa jerih menentang laba, rugi menentang laba, asalkan berani mencuba.
Jika diturut hati yang geram, hilang takut timbul berani.
Maksud peribahasa: Sebacul-bacul orang apabila telah marah akan menjadi berani.
Contoh ayat: Encik Rahmat yang pendiam itu tiba-tiba membela diri dengan garang, menunjukkan bahawa jika diturut hati yang geram, hilang takut timbul berani.
Kaki terdorong badan merasa; lidah terdorong emas padahannya
Maksud peribahasa: Segala janji harus ditepati, bila berbuat sesuatu, harus berani menanggung akibatnya.
Contoh ayat: Berhati-hatilah dengan setiap kata yang diucapkan, kerana kaki terdorong badan merasa; lidah terdorong emas padahannya.
Kaki tertarung inai padahannya, mulut terdorong emas padahannya.
Maksud peribahasa: Segala janji harus ditepati, bila berbuat sesuatu, harus berani menanggung akibatnya.
Contoh ayat: Setelah berjanji untuk membantu, dia harus melakukannya, kerana kaki tertarung inai padahannya, mulut terdorong emas padahannya.
Kayu yang tumbang, kura-kura pun hendak memanjatnya.
Maksud peribahasa: Apabila orang besar hilang kebesarannya maka orang kecil pun berani mencercanya.
Contoh ayat: Sejak pemimpin itu meletakkan jawatan dan jatuh miskin, bekas-bekas bawahannya mula menampakkan kebencian; memang benarlah, kayu yang tumbang, kura-kura pun hendak memanjatnya.
Kecil-kecil cabai rawit.
Maksud peribahasa: Meskipun kecil tetapi berani.
Peribahasa lain yang sama makna: Kecil-kecil anak harimau.
Contoh ayat: Jangan pandang rendah pada budak lelaki yang kecil molek itu, dialah juara karate yang handal; kecil-kecil cabai rawit.
Kecil-kecil cili Melaka
Maksud peribahasa: Meskipun kecil tetapi berani.
Peribahasa lain yang sama makna: a. Kecil-kecil anak harimau, b. Kecil-kecil cabai rawit.
Contoh ayat: Peguam muda itu telah mengalahkan peguam senior dengan hujah yang mantap, persis kecil-kecil cili Melaka.
Kecil-kecil anak harimau.
Maksud peribahasa: Meskipun kecil tetapi berani.
Peribahasa lain yang sama makna: a. Kecil-kecil cabai rawit, b. Kecil-kecil cili Melaka, c. Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung.
Contoh ayat: Walaupun baru memasuki bidang perniagaan, beliau tidak takut mengambil risiko besar, memang kecil-kecil anak harimau.
Kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung.
Maksud peribahasa: Meskipun kecil tetapi berani.
Peribahasa lain yang sama makna: a. Kecil-kecil anak harimau, b. Kecil-kecil cabai rawit, c. Kecil-kecil cili Melaka.
Limau abung = sebangsa limau besar.
Contoh ayat: Keberaniannya menyuarakan isu-isu sensitif dalam usia muda benar-benar menunjukkan dia kecil-kecil lada api, besar-besar limau abung.
Malu berani, mati takut
Maksud peribahasa: Pengecut.
Contoh ayat: Apabila disuruh bertanding, dia mula mencari seribu alasan; jelas sekali dia seorang yang malu berani, mati takut.
Membebek kambing lari ke hutan, menyalak anjing lari ke kota.
Maksud peribahasa: Dalam waktu huru-hara orang yang penakut berteriak lagi, tetapi orang yang berani bertempur maju.
Contoh ayat: Semasa peperangan, ramai yang melarikan diri sambil merungut, tetapi sebahagian kecil tentera berjuang di barisan hadapan, membebek kambing lari ke hutan, menyalak anjing lari ke kota.
Membulang ayam indarus rancak kokok
Maksud peribahasa: Lahirnya saja pandai atau berani, tetapi yang sebenarnya bodoh atau penakut.
rancak kokok = merdu bunyi kokoknya.
ayam indarus = ayaam sabungan yang kalah dalam pertandingan laga ayam
membulang = memasang taji buatan pada kaki ayam
Kagum! Peribahasa ini menceritakan mengenai perbuatan memasang taji pada ayam laga yang kalah tetapi merdu kokoknya. Taji dan kokokan ayam itu menampakkannnya hebat tetapi ia sebenarnya adalah ayam laga yang kalah. Peribahasa ini berbentuk sindiran buat mereka yang berpura-pura berani tapi penakut.
Contoh ayat: Dia selalu bercakap besar, tetapi bila diuji, dia gagal; ternyata dia hanyalah membuang ayam indarus rancak kokok.
Rugi menentang laba, jerih menentang boleh.
Maksud peribahasa: Suka menolong kerana ingin mendapat pertolongan pula; berani bersusah payah tentu akan mendapat keuntungan. (Peribahasa lain yang sama makna: Jerih menentang boleh, rugi menentang laba).
Contoh ayat: Dengan semangat rugi menentang laba, jerih menentang boleh, petani itu gigih mengusahakan tanahnya walaupun hasil permulaannya sedikit.
Tajam pisau kerana diasah.
Maksud peribahasa: Jadi pintar berani kerana selalu diajar (diasuh).
Contoh ayat: Kebolehan bertutur di khalayak ramai tidak datang dengan sendiri; ia menjadi berani kerana selalu berlatih, seperti kata peribahasa tajam pisau kerana diasah.
Takkan ada katak beranakkan ular.
Maksud peribahasa: Orang yang pengecut menjadi orang yang berani.
Contoh ayat: Walaupun dia telah menyertai banyak kursus motivasi, dia masih gagal mengatasi ketakutannya, kerana takkan ada katak beranakkan ular.
Tertangkap di ikan kalang.
Maksud peribahasa: Berlawan atau bersaingan dengan orang yang lebih berani (pandai, kaya dan sebagainya).
ikan kalang = keli atau ikan lele.
Contoh ayat: Usahawan kecil itu mencuba bersaing dengan syarikat multinasional; usahanya seperti tertangkap di ikan kalang.
Menarik peribahasa ini kerana banyak kali Tedi cuba fahami masih tak dapat faham. Tedi tahu ikan keli ni licin dan berbisa, menyebabkan ia susah ditangkap, tapi kenapa tertangkap? Kalau tertangkap tu maksudnya tidak sengaja, nak tangkap ikan lain dapat ikan keli. Kemudian kenapa ada "di" dalam peribahasa itu? Kata hubung "di" kita gunakan untuk tempat, kenapa pula gunakan pada ikan? Keliru... kalau tertangkap si ikan kalang macam lebih relevan?
Setelah mencari Tedi menemui satu penjelasan yang agak memuaskan hati. Bahasa Melayu Klasik menggunakan "di" pada pihak atau keadaan, bukan sahaja tempat.. Tertangkap di ikan kalang menyatakan bahawa kita yang tertangkap oleh ikan kalang. Macam tadilah Tedi sebut kita sebenarnya nak tangkap ikan lain tetapi kita sendiri "terjerat" dengan ikan keli. Jika diubah ke dalam Bahasa Melayu moden mungkin akan jadi "tertangkap oleh ikan kalang" atau "tertangkap dengan ikan kalang".
Tegak pada yang datar.
Maksud peribahasa: Berani kerana benar, sikap yang adil.
Contoh ayat: Kita harus berpegang teguh pada prinsip, tegak pada yang datar, walaupun terpaksa berhadapan dengan pihak berkuasa.
Terbulang ayam betina.
Maksud peribahasa: Orang yang disangka berani (pandai dan sebagainya), rupa-rupanya tidak.
Contoh ayat: Kami mengharapkan dia menjadi penyelamat pasukan, tetapi dia menunjukkan prestasi yang buruk; sungguh, dia hanya terbulang ayam betina.
Tiada tertikam tuah oleh berani.
Maksud peribahasa: Orang yang bertuah tiada dapat dialahkan dengan keberanian.
Contoh ayat: Walaupun pesaingnya lebih berani dan agresif, nasib tetap menyebelahi Encik Lim; tiada tertikam tuah oleh berani.
Tunggang hilang berani mati.
Maksud peribahasa: Tiada gentar menjalankan kewajipan, terutama untuk membela bangsa dan negara.
Contoh ayat: Pasukan keselamatan itu memasuki kawasan musuh dengan semangat tunggang hilang berani mati.
Tunggang hilang, tak hilang.
Maksud peribahasa: Siapa yang tetap hati berani mati dan sebagainya, akan mencapai maksudnya.
Contoh ayat: Beliau terus melawan penyakitnya dengan semangat tunggang hilang, tak hilang, dan akhirnya berjaya sembuh.
Turut hati yang geram, hilang takut tinggal berani.
Maksud peribahasa: Kerana marah hilang takut.
Contoh ayat: Apabila melihat adiknya dianiaya, dia terus bertindak tanpa berfikir panjang; dia turut hati yang geram, hilang takut tinggal berani.
Ugut-ugut beruk saja.
Maksud peribahasa: Menunjukkan berani pada orang yang takut padanya.
Contoh ayat: Dia hanya berani mengugut pekerjanya yang baru, tetapi tidak berani berhadapan dengan ketua syarikat; ini hanyalah ugut-ugut beruk saja.
~20251103~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.