بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Basuh tangan petap abu

  • Maksud peribahasa: Berharapkan sesuatu benda daripada orang yang bakhil, tentulah mustahil.
  • petap = mengeringkan sesudah dibasahi; tekap.
  • Bakhil = kikir, kedekut, lokek

Cekel berhabis, lapuk berteduh

  • Maksud peribahasa "Cekel berhabis, lapuk berteduh" ialah: Biarpun kikir namun harta akan habis juga akhirnya atau hilang percuma saja.
  • Maksud perkataan "cekel" ialah kikir atau pelit.

Kikir pari belulang kering, direndam tujuh hari tak basah

  • Maksud peribahasa
    • Terlalu degil atau terlalu kikir / kedekut
    • Orang yang kuat atau berkuasa yang tidak boleh dipengapakan
  • kikir pari = kikir yang dibuat daripada kulit pari untuk melicinkan kayu

Laksana jauk penjauk yang kerap

  • Maksud peribahasa "Laksana jauk penjauk yang kerap" ialah: Terlalu kikir.
  • jauk (sauk) = jaring kecil yang diberi bertangkai untuk menangkap ikan.
  • penjauk ialah alat untuk menyauk.
Peribahasa "laksana jauk penjauk yang kerap" ini memang mencabar daya fikir Tedi. Mungkin kerana tidak biasa dengan jauk dan penjauk. Jadi "jauk" itu lebih merujuk kepada jaring, manakala "panjauk" adalah alat yang dilengkapi jaring tersebut untuk menangkap ikan. Jadi "kerap" merujuk kepada jaring yang dianyam terlalu rapat, maka lebih rapat lebih sukar ditembusi.

Macam kikir besi

  • Maksud peribahasa: Orang kaya yang bakhil.
"Macam kikir besi" mungkin sebenarnya daripada ayat "macam mengikir besi". Besi kita tahu sifatnya susah untuk dikikir jadi hasilnya adalah sedikit apabila kita kikir besi. Maka ia sesuai untuk menerangkan sikap kedekut seseorang.

Sayangkan titik, tak sayangkan tumpah

  • Maksud peribahasa: Si bodoh yang kikir takut akan rugi yang sedikit, tetapi tidak kira akan rugi yang banyak.

Tangguk kedap orang Kelang

  • Maksud peribahasa: Terlalu kikir.
  • kedap = rapat

Yang ombak itu ombak juga, yang air itu air juga

Orang kaya itu kaya juga dengan kikir dan tamaknya; orang miskin itu miskin juga dengan melarat dan sebagainya.


~20240409~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih