بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Alor Setar: Ketua jurulatih baharu Sang Kenari Nafuzi Zain mahu terus pandang ke depan bagi mengorak langkah baharunya bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bagi menghadapi kancah Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaik diumumkan sebagai pengendali Sang Kenari, Nafuzi yang turut terkenal sebagai arkitek pembangunan pemain muda berkata, potensi besar bakat muda yang ada di Kedah turut menjadi tumpuan utamanya.

"Saya tahu cabaran besar dihadapi musim depan dan kita perlukan kombinasi terbaik pemain dalam usaha menyiapkan pasukan yang dahagakan kemenangan.

"Sebagai jurulatih saya tahu hanya kemenangan akan memberi kita 'jalan' kepada penyokong dan kelab. Saya mahu hadir ke sini sebagai pemenang serta berazam melaksanakan tugas dengan terbaik pada setiap perlawanan.

"Saya berterimakasih kepada pihak pengurusan KDA FC yang memberi sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada saya untuk mengendalikan pasukan ini pada musim depan," katanya selepas majlis menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Sang Kenari di House of Sang Kenari semalam.

Nafuzi yang mengikat kontrak dua tahunakan bergandingan dengan penolong jurulatih Victor Andrag berkata, antara faktor beliau memilih KDA FC adalah di atas kesepakatan dan persefahaman terjalin antara pihak pengurusan dan dirinya.

"Peranan 100 peratus pemilihan pemain yang diserahkan kepada saya antara penyebab utama kenapa saya bersama KDA FC selain reputasi baik pasukan menerusi legasi kejayaan selama ini," katanya.

Nafuzi turut menganggap cabarannya di Kedah adalah besar memandangkan bekas jurulatih Aidil Sharin meninggalkan banyak kejayaan buat Kedah termasuk kejayaan di peringkat saingan Piala AFC.

"Aidil membawa banyak kejayaan bersama pasukan, jadi saya perlu meneruskan usaha kejayaan di Kedah dan kini giliran saya pula mengharungi cabaran besar itu," katanya.

Disiarkan pada: Disember 7, 2022 (20221207) @ 2:51pm di https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2022/12/912498/nafuzi-tekad-julang-kedah


~20221207~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih