Kedah meneruskan perjuangan dalam perlawanan pertama suku akhir Piala Malaysia tahun ini dengan melayan kunjungan JDT. Atas kertas memang kita kata JDT wajib menang tetapi Helang Merah berjaya mengekang JDT di Stadium Darul Aman dengan keputusan 0-0.

Master berseloroh menyatakan lebih baik Kedah kalah dalam perlawanan ini kerana secara teorinya Kedah akan lebih bersemangat mengejar gol pada perlawanan timbal balik nanti. Keputusan seri atau menang akan menyebabkan JDT dibasuh oleh TMJ sekaligus akan menjadikan Harimau Selatan itu sebagai harimau terluka pada perlawanan timbal balik tersebut.

Apa-apa pun itu hanya cakap-cakap sahaja.
Berikut ialah beberapa berita berkaitan keputusan perlawanan suku akhir pertama di antara Kedah Darul Aman FC dan JDT.

Kedah, JDT buntu di Darul Aman

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC gagal memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri apabila terikat 0-0 menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, di sini, malam tadi.

Keputusan berkenaan sekali gus meletakkan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak berdepan tugas berat apabila turun ke Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis ini bagi aksi timbal balik peringkat suku akhir kedua.

Dalam perlawanan malam tadi, JDT lebih dahulu memulakan serangan bahaya ke atas kubu Kedah pada minit ke-19 dengan cubaan pemain pertahanan, Mauricio Dos Santos hampir menerjah gawang.

Kedah cuba bangkit selepas itu dengan asakan dari sayap kanan, namun gerakan yang dihasilkan pemain tengah Fadzrul Danel menerusi larian pantas dan mencemaskan, berjaya dipatahkan pertahanan JDT.

Apabila babak kedua disambung semula, kedua-dua pasukan kelihatan berhati-hati, namun tuan rumah cuba melakukan beberapa cubaan untuk membolosi gawang pelawat. Bagaimanapun tetap buntu,

JDT juga cuba meningkatkan serangan selepas itu, namun tetap gagal. Keputusan kekal 0-0 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Izzali Ismailo, November 14, 2021 @ 11:45pm 20211114

Sumber: https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/11/887468/kedah-jdt-buntu-di-darul-aman