Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju meneruskan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang terhenti sejak 2019 bagi memperkukuhkan keselamatan perairan negara dan mendorong industri pertahanan negara.

Lunas Kapal LCS 1 yang diletakkan di Lumut, Perak pada majlis pelancaran pada Mac 2016. FOTO Arkib NSTP

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Jemaah Menteri yang bersidang pada 5 Mei lalu.

"Dengan penerusan pembinaan itu oleh Kumpulan Boustead, ia akan menyelamatkan 1,600 pekerja yang terdiri daripada anak tempatan dan juga lebih daripada 400 syarikat vendor daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Bumiputera," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail berkata, jika pembinaan LCS tidak diteruskan, ia akan memberi beberapa impak negatif kepada pekerja dan vendor Bumiputera yang terbabit dengan projek itu.

"Ia juga akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang juga pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.

"Selain itu, secara tidak langsung pencarum yang juga anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan, malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd tidak berkeupayaan membayar pinjaman," katanya.

Disiarkan pada: Mei 7, 2021 @ 6:51pm
Nurul Hidayah Bahaudin
20210507
https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/703564/kerajaan-setuju-teruskan-projek-kapal-tempur