ALOR SETAR: Misi meraih tiga mata di laman sendiri tercapai apabila Kedah Darul Aman FC (KDA FC) meneruskan rentak kemenangannya dengan menundukkan Sri Pahang 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Dua gol Baddrol Bakhtiar dan satu oleh Kpah Sherman meletakkan Kedah di tangga kedua Liga Super setakat ini.

Pada babak pertama, Kedah mendapat peluang terbaik melalui sepakan bebas oleh Rabih Ataya seawal minit keenam namun ditepis penjaga gawang Sri Pahang, Zarif Irfan.

Sri Pahang dikejutkan apabila pemain import pertahanan, Herold Goulon dilayangkan kad merah pada minit ke-16 kerana mengasari Kpah Sherman.

Serangan demi serangan dilakukan Kedah akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-36 menerusi Baddrol.

Ia bagaimanapun tidak kekal lama apabila skuad Tok Gajah bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-41 menerusi Nur Izzat Che Awang yang menewaskan penjaga gol Kedah, Shahril Sa'ari selepas menyempurnakan hantaran daripada Nor Azam Azih.

Seminit selepas babak kedua bermula, Kedah kembali memimpin perlawanan apabila Kpah Sherman menghadiahkan gol kedua buat Kedah selepas mendapat peluang jaringan melalui sepakan penalti selepas dijatuhkan pertahanan Sri Pahang, Faisal Rosli.

Baddrol sekali lagi menambah jaringan ketiga pada minit ke-71 menerusi tandukan ke belakangan hasil sepakan sudut diambil oleh Faizat Ghazli.

Izzali Ismail
sukanteam@nstp.com.my
April 2, 2021 @ 11:22pm
20210402
https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/04/802957/kda-fc-teruskan-rentak-kemenangan