بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Penang FC 1-1 Kedah Darul Aman FC

Master baru sahaja habis menonton perlawanan Liga Super di antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan Sherman selamatkan Kedah Darul Aman FC apabila menjaringkan gol penyamaan untuk menjadikan keputusan seri 1-1.

 

Aina jatuh tangga dan terbelah dagu

Aina pula pada masa itu sudah sibuk nak naik ke bilik di tingkat atas untuk tidur. Tiba-tiba sahaja dia tersungkur di tangga dan berdarah dagunya. Kami syak Aina terpijak puzzle yang bersepah di lantai.

Master baru sahaja kosongkan kawasan itu dari permainan, tengok-tengok sudah ada mainan lain pula. 

Banyak darah menitis, dan Master tengok dagu Aina terbelah. Memandangkan pada zaman kecilnya Master pun pernah jatuh tangga dan terbelah dagu, maka Master ambil keputusan untuk membawa Aina ke klinik. Mesti nak kena jahit agaknya.

Mummy lap darah pada dagu Aina dan tuam dengan ais menjadikan darah hampir berhenti, tetapi mungkin lebih baik diperiksa oleh doktor.

 

Klinik tutup

Klinik pertama yang dituju adalah Klinik Siti Kota Warisan, tetapi klinik 24 jam itu tutup. Mummy mencadangkan pergi ke Poliklinik UKM Kesihatan Kota Warisan kerana ada nampak klinik itu buka semasa dalam perjalanan tadi.

Malangnya ketika kami sampai di Poliklinik UKM tu lebih kurang pada jam 11:33 malam, doktor sudah pun balik.

Kami kemudian ke Klinik Nur Qaseh, sama juga tutup. Nampak gayanya Covid-19 ini memberi kesan kepada waktu operasi klinik.

 

Ke Nilai Medical Center

Nampak gayanya tiada pilihan terpaksa bawa Aina ke hospital. Nilai Medical Center adalah hospital terdekat tetapi memerlukan kami merentas negeri. Pada masa Perintah Kawalan Pergerakan yang dikenakan pada waktu penularan Covid-19 ini perjalanan merentas negeri adalah dilarang.

Kami melalui sekatan jalan raya yang dikawal Polis Di-Raja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia dan dibenarkan merentas negeri setelah anggota polis yang bertugas berpuas hati dengan jawapan yang diberikan dan melihat keadaan Aina.

Sebaik tiba di Nilai Medical Center lebih kurang jam 11:55 malam, Master turunkan Mummy dan Aina di luar Bilik Kecemasan di mana para pengunjung perlu melalui saringan Covid-19. Ada khemas khas disediakan di luar.

Hanya Mummy dan Aina dibenarkan masuk. Manakala Master dan Aidan menunggu di luar. Aidan tidak mahu menunggu dalam kereta dan mengamuk apabila Master cuba bawanya ke dalam kereta untuk ditidurkan.

 

Jahit atau tidak?

Doktor kata luka Aina tak dalam, boleh ditampal dan dibenarkan pulang, tetapi akan meninggalkan parut. Jika tak mahu ada parut, perlu dijahit dan ditahan di wad. Tapi pada musim Covid-19 ini semua pesakit dan penjaga perlu menjalani ujian sapuan (swab test) di mana satu benda macam putik kapas tetapi panjang akan dijolok ke dalam lubang hidung.

Jika tiada ujian sapuan tu, jelas keputusan untuk menjahit luka Aina tu insha-Allah akan diambil. Tetapi sebab ada ujian sapuan tu membuatkan Master keberatan pula.

Akhirnya kami memutuskan bahawa Aina takkan dijahit, harapnya lukanya itu tidak meninggalkan parut. Aina perlu datang semula ke Nilai Medical Center pada hari Isnin untuk dibuka tampalan pada dagunya.

Picture of Aina receiving treatment at Nilai Medical Center after her chin was split because she fell down the stairs at home when she wanted to go upstairs to sleep. # Saturday, 13 March 2021, 00:37 # 20210313 # IMG_20210313_003752.jpg # Xiaomi M2003J15SC # Nilai Medical Center #
Gambar Aina menerima rawatan di Nilai Medical Center selepas dagunya terbelah kerana jatuh tangga di rumah ketika nak naik ke tingkat atas untuk tidur. # Saturday, 13 March 2021, 00:37 # 20210313 # IMG_20210313_003752.jpg # Xiaomi M2003J15SC # Nilai Medical Center (https://goo.gl/maps/Tv4naAezVNnmgMpH9) #

 

Pulang ke rumah

Kami bergerak pulang ke rumah dan tiba di rumah pada jam 1:23 pagi dalam perjalanan selama 12 minit (7.2 kilometer). Di tengah perjalanan kami disoal polis di sekatan jalan raya yang sama dan dibenarkan melintasi sempadan negeri setelah beliau berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.

 


~20210313~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih