Alor Setar: Spekulasi pemain kebangsaan Singapura M Anumanthan bakal menyertai pasukan Kedah dalam Liga Malaysia (Liga M) semakin bertiup kencang.

Pemain posisi tengah itu makin hampir bersama Hijau Kuning susulan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) juga turut mengesahkan bakal mengikat seorang pemain kuota Asean dari Singapura sebelum ini.

Menurut sumber, pemain yang memiliki corak permainan seperti rakan senegaranya, Hariss Harun itu bakal membarisi ruang tengah dan mungkin berganding bersama Baddrol Bakhtiar dan seorang lagi pemain import dari Lebanon, Rabih Ataya yang turut dikaitkan bersama Kedah.

"Jika diberi peluang, beliau mampu menjadi pemain tengah hebat seperti rakan senegaranya Hariss Harun yang pernah beraksi dalam Liga M bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini," katanya.

Malah terdapat laporan berita antarabangsa sebelum ini yang memetik pemain yang memulakan kariernya bersama skuad Young Lions pada 2012 ini bakal 'bergabung' dengan jurulatih Aidil Sharin Sahak di Kedah selepas pernah berada dalam skuad Home United pada 2017 lalu.

Turut dilaporkan, pemain kebangsaan Singapura berusia 26 tahun itu bakal bertolak ke utara hujung minggu ini sebelum bersama skuad Kedah selepas menjalani kuarantin wajib.

Sewaktu bersama Home United, M Anumanthan membantu pasukan itu (kini Lion City Sailors) di kedudukan tiga terbaik carta Liga Premier Singapura termasuk peringkat final Piala AFC zon Asean pada 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2021 @ 3:13 PM

20210101

https://www.hmetro.com.my/topic/arena/2021/01/659086/klon-hariss-harun-sertai-kedah