Alor Setar: Penyerang baharu yang diumumkan Kedah, Rozaimi Abd Rahman bertekad mahu membuktikan kemampuan dan kesungguhannya untuk penyokong skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC pada musim depan.

Menurut luahan bekas pemain Sabah dan Johor Darul Ta'zim II (JDT II) ini, dia begitu teruja dengan semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Kedah pada setiap kali aksi perlawanan berlangsung.

"Penyokong Kedah adalah penyokong fanatik jika dibandingkan dengan mana-mana penyokong pasukan lain yang saya lihat, tapi bagi saya memang penyokong Kedah fanatik habis.

"Untuk aksi musim depan, saya mahu pastikan aksi terbaik saya untuk mereka (penyokong Kedah) dan ini mendorong saya terus bekerja keras dan saya mesti bersungguh-sungguh untuk mereka.

Rozaimi juga mengakui selain reputasi pasukan dan pengaruh penyokong, hasratnya untuk bersama Kedah yang disimpan selama ini menjadi pendorong untuk beliau memilih bersama skuad Hijau Kuning.

"Saya pilih Kedah sebab memang sudah menjadi sasaran saya sebelum ini dan disamping itu ramai pemain yang saya kenali dalam pasukan Kedah yang turut memberi galakan dan saya perlu berusaha dengan lebih gigih bagi membuktikan kemampuan yang saya miliki.

"Tiada masalah untuk saya berhijrah ke Kedah kerana saya juga hendak mencari pengalaman bersama pasukan Kedah dan sebelum ini pun memang niat saya untuk bermain dengan Kedah.

"Persaingan dalam pasukan yang padu dari pengamatan saya, sebenarnya adalah cabaran untuk saya buktikan saya masih boleh bermain dengan baik." katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Rozaimi turut mengakui dengan kembalinya kehadiran penyokong sebanyak 10 peratus yang dibenarkan ke stadium pada musim depan pastinya menyuntik semangat berganda buatnya.

"Sebelum ini stadium agak sunyi, dan apabila berita penyokong sudah boleh mula masuk ke stadium pada musim depan, ini akan menambahkan semangat untuk beraksi kerana apabila ada penyokong, baru kita dapat bermain dengan lebih bersungguh-sungguh dan habis-habisan." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 1:39 PM

20201222