بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


JOHOR BAHRU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor menggunakan dron bagi mengesan pergerakan kumpulan gajah liar yang menceroboh dan merosakkan tanaman di kawasan FELDA di Mersing.

Pengarah PERHILITAN Johor, Salman Saaban, berkata ia susulan dua kumpulan gajah dilaporkan memusnahkan tanaman peneroka di FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing, sejak dua minggu lalu.

Katanya, tindakan kawalan gajah oleh Jabatan PERHILITAN Johor dilakukan di FELDA Tenggaroh 5, pada Selasa lalu, selepas mendapat aduan peneroka di sana.

"Namun tindakan kawalan tidak dilakukan di FELDA Tenggaroh Timur 1 selepas dimaklumkan oleh pengadu bahawa kumpulan gajah terbabit didapati bergerak ke arah FELDA Tenggaroh 5.

"Pengurusan FELDA Tenggaroh 5 juga turut membuat aduan pada hari sama.

"PERHILITAN Johor akan membuat kawalan dan pemantauan menggunakan dron apabila cuaca mengizinkan bagi mengetahui arah pergerakan

kumpulan gajah ini sekali gus membuat tindakan kawalan bagi mengelakkan haiwan berkenaan terus memasuki kawasan ladang FELDA," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas aduan peneroka FELDA Tenggaroh Timur 1, Mersing yang dilaporkan kebimbangan selepas lebih 1,000 tanaman sawit mereka dimusnahkan kumpulan gajah dalam tiga kejadian berasingan sejak dua minggu lalu.

Hasil penelitian peneroka dan pengurusan FELDA Tenggaroh Timur 1, dilaporkan terdapat dua kumpulan gajah yang menceroboh di FELDA berkenaan iaitu kumpulan gajah dari Hutan Simpan Jemaluang dan satu lagi dari Sedili.

Mengulas lanjut, Salman berkata, pengurusan FELDA turut diminta untuk membantu membuat kawalan jika terdapat kumpulan gajah yang cuba memasuki kawasan berkenaan.

"Segera maklumkan kepada PERHILITAN jika kumpulan gajah masuk semula ke kawasan ladang bagi pihak kami membuat kawalan dan tindakan susulan," katanya.


Sumber: 

  • Guna dron kesan pergerakan gajah liar, BH Online, 20200921, © New Straits Times Press (M) Bhd

~~~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, tqvm