Betullah tu, tiba-tiba sahaja dikejutkan dengan masalah gaji, apa masih tidak profesional lagi tahap bola sepak di Malaysia ni?

Masalah ini tidak dibantu dengan rentetan kes pemain berhijrah dengan bayaran murah setelah Kedah FA memberi mereka latihan dan pendedahan.


ALOR SETAR: Kelab Penyokong Bolasepak Kedah memandang serius isu tunggakan gaji membabitkan pasukan negeri itu seperti dimaklumkan pemilik pasukan Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi laman sosial Johor Southern Tigers semalam.

Kedah dikatakan antara empat pasukan selain Kelantan, Melaka United dan Pulau Pinang yang perlu menyelesaikan terlebih dahulu hutang dengan pemain sebelum membuat keputusan untuk memotong gaji pemain ekoran pandemik COVID-19.

Menurut jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang mewakili 23 kelab penyokong Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri, ketika semua pasukan sedang terkesan dengan pandemik sedang melanda negara dan dunia, berita pasukan masih berhutang menambah lagi kesulitan sedia ada.

"Ini memberi kejutan kepada kami sebagai penyokong setia Kedah, agak mengejutkan juga kerana pihak luar lebih cepat mengetahui keadaan semasa dalam pasukan Kedah.

"Kami amat berharap perkara ini dipandang serius KFA dalam menjaga imej serta reputasi pasukan yang pernah membawa banyak kejayaan dalam Liga Malaysia," katanya.

Safarizal berharap semua pasukan yang didakwa terbabit dalam isu tunggakan gaji berkenaan terutama Kedah perlu memberi maklum balas segera sekiranya ada maklumat kurang tepat berkaitan isu tunggakan gaji berkenaan.

"Pada masa yang sama kami juga mahukan kepastian terhadap perkara ini kerana sebagai penyokong kami juga mahu tahu dari sumber mana perkara ini diperoleh bagi memastikan perkara ini tepat.

"Hebahan secara terbuka ini boleh mengundang pelbagai reaksi yang mungkin mengeruhkan keadaan berbanding sebaliknya dan kami berharap perkara tidak memberi kesan negatif dalam usaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah," katanya.


Berita ini disediakan oleh Izzali Ismail dan diterbitkan pada 20200414 di Berita Harian Online dengan tajuk "Tunggakan gaji Kedah kejutkan penyokong". sukanteam@nstp.com.my. © New Straits Times Press (M) Bhd