Pada hari Ahad yang lalu, Master keluar sebentar untuk pam tayar kereta Proton Persona yang dah lama tak bergerak sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 ni.

Di samping itu Master turut membantu deposit cek yang Tedi terima daripada Google Adsense. Taklah banyak, USD$100 je. Master depositkan melalui mesin deposit cek di Maybank Bandar Baru Salak Tinggi.

Ramai orang beratur nak ambil duit di luar bank. Mereka beratur dengan jarak 1 meter di antara satu sama lain sempena mematuhi polisi semasa Perintah Kawalan Pergerakan.

Kandungan: Isi Maklumat di Belakang Cek | Terima Panggilan daripada Maybank. Tandatangan diperlukan. | Pergi ke Maybank Bandar Baru Salak Tinggi untuk tandatangan cek | Terima Panggilan daripada Maybank, caj tunaikan cek ialah USD$ 50. | Pilihan lain selain cek untuk terima bayaran daripada Google Adsense? | Bagaimana pula dengan cek Google Adsense yang belum ditunaikan?

Isi Maklumat di Belakang Cek

Untuk deposit cek melalui mesin deposit cek Maybank tu, kita kena isikan maklumat berikut di belakang cek (nasib baik Master dah bawa pen siap-siap):

  1. Nombor akaun Maybank
  2. Nama penuh pemegang nombor akaun. Pastikan serupa macam nama dalam cek, kalau tak sama mungkin boleh tanya pengeluar cek tersebut.
  3. Nombor telefon

Kemudian Master masukkan cek melalui slot yang ada pada mesin deposit cek Maybank tu, dan Master ambil resit yang dicetak. Siap ada gambar cek dalam resit tu tapi memang tak nampaklah apa isinya, kecil sangat-sangat.

Selesai urusan Master meninggalkan Maybank menuju ke destinasi seterusnya iaitu rumah Mak Long untuk ambil kertas soalan peperiksaan anak-anak murid Mak Long.

gambar cek yang kami terima buat pertama kali daripada Google Adsense
gambar cek yang kami terima buat pertama kali daripada Google Adsense bertarikh 20191222 bernilai satu ratus satu dollar Amerika dan 32 sen.
# Google Asia Pacific PTE LTD # Payable at Citibank, N.A. New Castle, DE 19720, ABA 031100209 # For: Citibank Europe plc #
# Friday, 8 May 2020, 13:45 # IMG_20200508_134559 # 20200508 # Xiaomi Redmi Note 5A #

Terima Panggilan daripada Maybank. Tandatangan diperlukan.

Kemudian pada hari Isnin, Tedi menerima panggilan telefon daripada nombor +60 387063549. Rupanya ia daripada Maybank Bandar Baru Salak Tinggi. Nasib baik Tedi angkat, selalunya Tedi abaikan nombor yang tidak dikenali kerana takut scammer.

Kakitangan Maybank tu kata cek Tedi perlu ditandatangani dan sepatutnya tidak didepositkan melalui mesin deposit cek. Maksudnya urusan nak deposit cek luar negara kena melalui kaunter.

Dia suruh Tedi datang ke Maybank Bandar Baru Salak Tinggi pada hari Selasa dalam jam 9:30 pagi sehingga jam 2:00 petang untuk menandatangani cek tersebut.

<Kandungan>

Pergi ke Maybank Bandar Baru Salak Tinggi untuk tandatangan cek

Tedi pun meminta Master membawa Tedi ke sana.

Ramai betul orang beratur di luar bank Maybank tu sebab SOP semasa PKP  mewajibkan jarak 1 meter di antara manusia. Tedi beritahu pengawal keselamatan Tedi nak masuk bank tapi tidak dibenarkan. Kemudian keluar seorang kakitangan tanya apa yang Tedi nak?

Tedi kata Tedi nak tandatangan cek seperti yang diminta oleh seorang kakitangan di sana.

Kemudian kakitangan tu keluar semula membawa cek yang Master deposit melalui mesin deposit cek, dan dia meminta Tedi tandatangan di belakang cek. Urusan Tedi di sana selesai sebaik sahaja Tedi menandatangani cek tersebut beralaskan pintu kaca.

<Kandungan>

Terima Panggilan daripada Maybank, caj tunaikan cek ialah USD$ 50.

Pada hari Rabu Tedi menerima panggilan daripada staff Maybank yang sama. Dia memaklumkan bahwa caj yang dikenakan ialah USD$50. Jika nasib tak baik mungkin dikenakan caj tambahan USD $15.

Jika betul-betul Tedi bernasib malang, mungkin Tedi hanya akan dapat MYR 50 (lima puluh Ringgit Malaysia) sahaja!

Lawak apakah ini? Pengalaman pertama Tedi bermain dengan cek luar negara ni nampaknya tidak selancar yang disangka. Kalau dalam drama tu macam senang je guna cek, tapi cek mereka puluhan ribu lah, kalau setakat kena caj USD $50 tu mungkin selit celah gigi je.

Staff Maybank tu minta Tedi fikir dulu dan semak dengan bank lain berapa kadar caj yang dikenakan. Dia minta Tedi hadir ke Maybank Bandar Baru Salak Tinggi untuk ambil balik cek tersebut jika Tedi tidak mahu teruskan urusniaga tersebut.

Dia tanya, tiada pilihan lainkah selain gunakan cek?

<Kandungan>

Pilihan lain selain cek untuk terima bayaran daripada Google Adsense?

Pertanyaan kakitangan Maybank Bandar Baru Salak Tinggi itu berlegar dalam fikiran Tedi. Akhirnya Tedi melakukan sedikit kajian dan mendapati bahawa Google Adsense menawarkan bayaran melalui Western Union selain pindahan wang ke dalam akaun bank.

Tedi pun cubalah daftar untuk jadikan Western Union sebagai kaedah pembayaran utama Google Adsense, memang mudah. Cuma masukkan nama kita sahaja. Macam mudah sangatlah pula kan?

Google kata nanti mereka akan hantar satu resit pembayaran, dalam resit tu akan ada satu nombor. Nanti kita serahkan nombor atau maklumat resit tu kepada ejen Western Union beserta kad pengenalan kita.

Mungkin akan ada sesi temubual untuk sahkan bahawa kita adalah penerima sebenar.

<Kandungan>

Bagaimana pula dengan cek Google Adsense yang belum ditunaikan?

Ini adalah satu persoalan yang menghantui Tedi. Takkanlah bayaran USD $100 dalam bentuk cek tu Tedi nak biarkan sahaja? Tapi kalau Tedi tunaikan dapat MYR 50 memang tak berbaloilah, dah berangan nak dapat MYR 400++ (lebih empat ratus Ringgit Malaysia).

Kalau mengikut kadar tukaran wang mata asing US Dollar ke Malaysia Ringgit, Tedi akan beroleh MYR 432.20 (empat ratus dan tiga puluh dua Ringgit Malaysia dan dua puluh sen). Enam tahun blogging baru dapat tu! Bolehlah buat bayar bil elektrik... hihihi..

Google kata, jika anda tidak tunaikan cek dalam masa setahun, maka bayaran akan dimasukkan semula ke dalam baki akaun Adsense anda, dan akan dibayar dalam pembayaran seterusnya.

Okaylah tu, kita biarkan je lah cek itu tak ditunaikan, setahun pun setahun lah, kalau rezeki Tedi dapat duit tu, alhamdulillah, kalau tak dapat... alhamdulillah juga.

Tedi belum memutuskan sama ada Tedi akan mengambil cek itu pada esok hari, atau Tedi minta je staf Maybank tu hapuskan cek tu? Macam malas pula nak ke sana.

Staf Maybank tu minta Tedi telefon dia esok jika tak mahu teruskan, mungkin itu yang Tedi akan lakukan.

Tapi kalau Tedi simpan cek tu sebagai tanda kenangan pun okay juga kan?

<Kandungan>


Coretan ini mula dikarang pada 20200507 dan diterbitkan pada 20200508, mengenai cabaran yang Tedi lalui semasa nak tunaikan cek Google Adsense di Maybank cawangan Bandar Baru Salak Tinggi.