Kapal Terbang MASWings tergelincir

SEBUAH kapal terbang ringan terbabas ke dalam longkang selepas tergelincir daripada landasan ketika mendarat di Long Seridan, Miri pagi tadi.

Kapal terbang Twin Otter DHC-6 milik anak syarikat Malaysia Airlines, MASWings itu berlepas dari Marudi jam 10.02 pagi.

Gambar KEADAAN kapal terbang Twin Otter MASWwings yang tergelincir ketika mendarat di Long Seridan
© Gambar oleh Harian Metro | KEADAAN kapal terbang Twin Otter MASWwings yang tergelincir ketika mendarat di Long Seridan. FOTO Ihsan pembaca 

Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin, juruterbang, pembantu juruterbang bersama dua penumpang yang menaiki penerbangan MH3622 itu selamat.

"Saya sudah hubungi Ketua Pegawai Eksekutif MASWings, Aminuddin Zakaria dan beliau mengatakan bahawa siasatan terhadap insiden sedang dijalankan."

"Saya juga diberitahu bahawa semua penumpang di dalam kapal terbang termasuk juruterbang dan pembantu juruterbang selamat tanpa sebarang kecederaan."

"Kapal terbang itu tergelincir ketika mendarat di landasan yang basah selepas hujan pagi ini," katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala bersyukur kerana semuanya selamat.

"Syukurlah penumpang dan kedua juruterbang selamat," katanya.

Gerawat berharap MASWings akan membuat siasatan menyeluruh mengenai kejadian itu.

"Siasatan juga harus difokuskan pada bagaimana menghindari insiden serupa pada masa depan kerana sebelum ini ada insiden sama membabitkan kapal terbang Twin Otter MASWings di landasan Marudi dan Bario," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, MASWings mengeluarkan kenyataan mengesahkan kejadian terbabit.

"Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan," katanya.


© New Straits Times Press (M) Bhd | Berita disediakan oleh Melvin Joni dan diterbitkan di Harian Metro pada