KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan bahawa pemain Kedah sendiri yang bercerita mengenai masalah tunggakan gaji mereka bersama Helang Merah.

Tunku Ismail menerusi kenyataan di laman Instagram miliknya, hari ini turut meminta persatuan tidak menuding jari kepada pihak lain dalam menangani isu itu selain berhenti menipu penyokong.

"Yang mengadu pemain Kedah FA juga. Saya bersuara untuk semua pemain di dalam negara yang sudah lama menjadi mangsa janji kosong orang politik yang menguruskan bola sepak demi kepentingan peribadi.

"Gaji lambat bukan sebelum COVID-19. Duit bonus Piala FA lambat. Gaji dua bulan lambat, hanya dibayar sebelum perlawanan Piala Sumbangsih.

"Pemain Kedah FA sendiri yang bercerita. Striker (penyerang) import Kedah FA pun mengadu kepada pemain saya," tulis Tunku Ismail yang turut memuat naik gambar Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris bersama kenyataan itu.


- IG Stories TMJ

Kelmarin, TMJ menyuarakan pendapat bahawa semua pasukan yang berdepan masalah tunggakan gaji perlu menyelesaikan hutang terbabit terlebih dahulu sebelum mahu melakukan pemotongan gaji pemain akibat COVID-19.

Selain itu, TMJ menjelaskan bahawa beliau tiada niat untuk campur tangan dalam urusan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) terutama membabitkan masalah tunggakan gaji pemain.Sebaliknya, pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu berkata beliau bersuara sebagai Penaung Diraja Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM).

"Saya bersuara demi pemain yang berhempas pulas setiap tahun untuk bola sepak negara dan penyokong bola sepak tempatan.

"Sebelum ini saya diam. Tapi awak kaitkan JDT dalam kenyataan tadi. Jadi saya terpaksa pertahan kelab saya yang langsung tiada campur tangan dalam hal ini," kata TMJ yang dipercayai sebagai jawapan balas terhadap kenyataan Asmirul.


Walaupun Tedi tidak sekepala dengan TMJ, tetapi Tedi setuju mengenai pendapat beliau mengenai penglibatan orang politik dalam bola sepak.


Diterbitkan pada Rabu, 15 April 2020 | 2:28pm di Berita Harian Online, disediakan oleh Zulfaizan Mansor, zulfaizan@bh.com.my