Apa kena-mengena berita mengenai Safiq Rahim dengan Kedah FA? Tak ada kena-mengena cuma di dalam keratan berita ni ada berita mengenai penghijrahan pemain pasukan Kedah ke kelab bola sepak PKNS FC.


KELAB Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) menafikan sedang memburu khidmat bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim untuk membantu pasukan mengharungi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Perkara tersebut disahkan oleh pengurus pasukan, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid selepas ada mendengar khabar angin bahawa bekas kapten skuad bola sepak negara itu berminat untuk kembali ke pasukan berpangkalan di Lembah Klang itu.

“Saya ada dengar bahawa Safiq dirisik untuk kembali ke Lembah Klang tetapi bukan pasukan kami kerana buat masa ini, PKNS FC masih belum berjumpa dengan pihaknya.

“Secara peribadi, pasukan di bawah kendalian Datuk K. Rajagobal juga sedang memasuki fasa akhir dalam melengkapkan senarai pemain untuk didaftarkan pada saingan musim depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Mengulas lanjut, Mahfizul mengakui sedang mencari sekurang-kurangnya dua lagi pemain tempatan sebelum membolehkan pasukan fokus untuk persiapan pramusim yang dijadualkan bermula awal Disember ini.

Ariff Farhan sertai PKNS FC

“Kami sudah mengenal pasti beberapa pemain tempatan untuk diberikan tawaran kontrak beraksi bersama pasukan bagi saingan musim depan. Antara pemain baharu yang kami tandatangani adalah Ariff Farhan (Md. Isa) yang sebelum ini mewakili Persatuan Bolasepak Kedah (Kedah FA).

gambar terkini Muhammad Ariff Farhan bin Md Isa

“Selain itu, seperti yang sedia maklum, khidmat penyerang utama kami, Mohd. Safee Sali juga terpaksa dilepaskan selepas kontraknya tamat pada musim ini.

“Ketika ini, barisan jurulatih juga sudah mula mencari pemain import untuk mengisi kuota yang masih kosong memandangkan kami hanya mengekalkan khidmat Romel Morales musim depan,” katanya.

Pasukan PKNS FC merekodkan pencapaian terbaik mereka dalam sejarah Liga Super Malaysia selepas berada di tangga ketiga di belakang juara, JDT dan Perak.

 

Muhd Ardie Putra Suhaimi, KOSMO, 20181121