Sangat mengejutkan, itulah yang mampu Tedi komen mengenai prestasi Hafizh Syahrin di perlumbaan MotoGP Sepang.

Dia bermula dari petak ke 21 dan kemudian di pusingan pertama telah memintas ramai pelumba untuk menduduki posisi ke-12.

Akhirnya Hafizh Syahrin berjaya menduduki tempat ke-10.


SEPANG - Tangisan ayah sebelum perlumbaan serta nasib malang yang menimpa rakan senegara, Adam Norrodin menjadi kunci kejayaan pelumba MotoGP pertama negara, Hafizh Syahrin Abdullah menduduki tempat ke-10 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Hafizh melakukan 'sujud' sebagai tanda syukur di atas kejayaannya menduduki tempat ke-10 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. - Gambar Bernama

Tatkala segelintir peminat tempatan meragui akan kemampuannya, Hafizh mengakui dua elemen tersebut membakar semangatnya untuk memacu laju di atas permukaan litar yang kering untuk melakar kejayaan bersejarah di laman sendiri.

Menurut pelumba Monster Yamaha Tech 3 itu, saat melihat ayahnya menangis di sebalik pagar penghadang selain mengenangkan nasib Adam yang terbabas pada perlumbaan Moto3 membuatkan dirinya sebak sebelum ia mencetuskan rasa semangat luar biasa untuk berlumba.

"Saya bersyukur kepada Allah SWT kerana permudahkan perjalanan perlumbaan saya. Minggu ini agak sukar bagi saya pada hari pertama dan kedua ditambah saya rasa hampa kerana ramai peminat yang tidak percaya pada kapasiti saya.

"Hari ini saya ambil semangat keluarga dan Adam. Ketika berada di petak permulaan saya nampak ayah jauh di belakang pagar...dia menangis suruh saya buat yang terbaik. Terima kasih kepada pengawal keselamatan kerana melepaskan ayah untuk berjumpa dengan saya dan saya sempat peluk beliau sebelum berlumba," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Reaksi Hafizh yang seakan tidak percaya di atas pencapaiannya menamatkan perlumbaan di tempat ke-10 pada perlumbaan Grand Prix Motosikal Malaysia 2018 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini. - Foto ABDUL RAZAK LATIF

Hafizh yang diberi jolokan 'El Pescao' muncul rookie pertama melepasi garisan penamat di Sepang dengan catatan masa 40 minit 59.291 saat (s) meskipun memulakan perlumbaan di petak terakhir selepas bergelut dengan permukaan litar basah pada sesi latihan bebas dan pusingan kelayakan semalam.

Pada masa sama, Hafizh berkata beliau mungkin boleh meraikan kejayaan muncul rookie terbaik musim ini di Sepang sekiranya beliau berjaya menamatkan beberapa pusingan perlumbaan sebelum ini.

Katanya, peluang untuk beliau mengatasi seteru utamanya Franco Morbidelli dari Itali yang mewakili pasukan EG 0,0 Marc VDS agak tipis memandangkan hanya tinggal satu pusingan perlumbaan sahaja selepas ini.

"Agak sukar untuk saya mendapatkan gelaran rookie terbaik tetapi bagaimanapun saya sudah bukitkan bahawa saya lebih laju daripada semua rookie pada musim ini cuma bukan rezeki saya kerana di Phillip Island, Catalunya dan Austin saya jatuh.

"Jika kita imbas balik kalau saya tidak jatuh mungkin kejayaan hari ini membolehkan kita meraikan kejayaan sebagai pelumba rookie terbaik di Sepang," katanya.

Sementara itu, juara dunia MotoGP 2018, Marc Marquez daripada pasukan Repsol Honda Team menungguli saingan di Sepang dengan catatan 40:32.372s diikuti Alex Rins daripada pasukan Team Suzuki Ecstar di tempat kedua (40:34.270s) manakala rakan sepasukan Hafizh, Johann Zarco ketia (40:34.846s).

- Bernama

20181104