Akhirnya selesai juga ujian pendengaran dan ujian mata bayi Aina dalam dua hari berturut-turut.
Ujian Pendengaran Bayi
Ujian pendengaran bayi dilakukan di Hospital Bersalin Berisiko Rendah Precint 8 di Putrajaya pada 4 Mei 2017. Tampaknya bangunan Hospital Bersalin Berisiko Rendah ni adalah blok perumahan kakitangan kerajaan yang ditukar fungsinya menjadi sebuah hospital.
Kena mendaftar dulu di unit hasil dengan bayaran sebanyak RM 5 bagi rakyat Malaysia, sebelum dihantar ke Unit Ujian Pendengaran di tingkat 2. Pastikan anda membawa buku merah bayi dan juga kad kesihatan bayi.
Sebelum dibenarkan naik ke tingkat 2, kami perlu mendaftar dahulu dengan pengawal keselamatan di bawah.
Anak Gagal Ujian Pendengaran
Bayi Aina gagal dalam ujian pendengaran tersebut di mana ujian dilakukan dengan meletakkan satu alat di telinga dan kepala bayi. Bayi harus tidur nyenyak semasa ujian dilakukan. Doktor kata mungkin bayi Aina ni gagal sebab dia selsema.
Kami habis dalam jam 10 lebih di mana kami mendaftar dalam jam 9.30 pagi. Sempatlah Mommy dan Master pergi ke pejabat untuk separuh hari ke dua.
Ujian Penglihatan Bayi
Ujian penglihatan bayi ni dipanggil oftamologi kalau Tedi tak silap. Tujuannya adalah untuk melihat perkembangan mata bayi. Ujian ini dilakukan di Klinik Pakar di Hospital Putrajaya.
Kami sampai di Hospital Putrajaya dalam jam 8.20, di mana Master terus hantar Mommy ke lobi klinik pakar. Orang beratur punyalah ramai dari dalam ke luar pintu masuk dan ke dalam balik. Nasib baik staff hospital berbaik hati mengambilkan nombor giliran untuk Mommy mungkin kerana Mommy membawa bayi kecil. Sebelum itu ada juga seorang insan yang menyuruh Mommy duduk dan dia akan cop tempat Mommy.
Kawasan letak kereta di Hospital Putrajaya ni sebagaimana di hospital-hospital lain di Malaysia tidak mencukupi. Dah tahu nak bina hospital tu biarlah sekali dengan bangunan tempat letak kereta. Master berpusing-pusing selama sejam di sekitar Hospital Putrajaya dan juga Institut Kanser Negara, namun masih tidak dapat parking kereta.
Akhirnya Master letak kereta di Putrajaya Sentral dengan bayaran RM 2 sekali masuk pada waktu siang, dan RM 4 pada waktu malam.
Master berjalan kaki ke Hospital Putrajaya dari Putrajaya Sentral yang terletak berhadapan di seberang jalan. Masa yang Master ambil dari tempat letak kereta di Putrjaya Sentral ke Hospital Putrajaya adalah sekitar 20 minit.
Sebenarnya Master tidak perlu berjalan kaki kerana pihak Hospital Putrajaya ada sediakan kenderaan untuk angkut pengunjung Hospital Putrajaya dari Terminal Putrajaya Sentral sekali dalam lima belas minit. Tapi Master berasa segan sebab berasakan hospital Putrajay tu dekat sahaja, tapi bila dah berjalan 20 minit tu baru Master rasa agak menyesal.
Ketika Master sampai di Hospital Putrajaya di bangunan Klinik Pakar, keadaan sesak dengan kehadiran manusia yang mahu mendapatkan rawatan. Lama juga menunggu sebab mata bayi Aina belum mengembang walaupun dititis ubat dua kali, kali ketiga baru nurse suruh masuk menunggu berhampiran bilik doktor.
Doktor yang memeriksa bayi Aina katakan mata Aina okay. Dia siap buatkan surat bertulisan tangan untuk berikan Mommy khidmat nasihat penyusuan badan di Hospital Bersalin Berisiko Rendah di Precint 8 Putrajaya. Mungkin dengan surat daripada doktor tersebut akan memudahkan Mommy mendapatkan khidmat tersebut.
Dekat jam 12 tengahari baru urusan kami di Hospital Putrajaya selesai.
Peta lokasi Hospital Putrajaya
10 Mei 2017, 20170510, 20170504
Artikel ini adalah mengenai pengalaman bayi gagal ujian pendengaran.
0 Ulasan
Buah cempedak di luar pagar, ambil galah tolong jolokkan.
Tedi budak baru belajar, salah tak salah tolong komenkan.