Ramai yang tahu bahawa Jepun pernah serang Pearl Harbor, satu perlabuhan tentera Amerika Syarikat di Hawaii. Serangan ini terkenal kerana Jepun berjaya serang Pearl Harbor secara mengejut dan menerima hanya sedikit tentangan.

Tapi Tedi kurang arif mengapa Jepun perlu serang Pearl Harbour? Kenapa Jepun mahu serang perlabuhan Pearl Harbor tersebut?

Pandangan udara pangkalan udara Wheeler Airfield yang terbakar selepas serangan Jepun ke atas Pearl Harbor, Honolulu, Hawaii pada 7 Disember 1941. Gambar diambil oleh sebuah pesawat pejuang pengebom Jepun semasa melakukan serangan.

Serangan Jepun ke atas Pearl Harbor adalah kerana beberapa sebab.

Menghancurkan armada laut Amerika di Pasifik (Pacific Fleet)

Jepun mahu memusnahkan aset penting armada perang Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Pacific Fleet sebagai langkah mengelakkan Amerika Syarikat daripada masuk campur atau menghalang Jepun menjajah Belanda India Timur dan juga Tanah Melayu.

Selain itu kemusnahan kepada Pacific Fleet akan membolehkan Jepun menjajah Asia Tenggara dengan mudah

Ketika itu, Jepun mahu meluaskan tanah jajahannya kerana mereka kekurangan sumber untuk menyokong pertumbuhan industri mereka.

Memberi masa kepada Jepun menguatkan armada perangnya

Amerika Syarikat telah melancarkan Vinson-Walsh Act pada 1940 yang akan membolehkan kapal perang mereka bertambah sebanyak 70% melalui usaha pembinaan besar-besaran.

Jika hal itu berlaku, Jepun takkan berpeluang untuk menang. Jadi mereka melancarkan serangan awal untuk mencuri masa untuk memperkuatkan armada perangnya.

Memusnahkan keupayaan Amerika Syarikat untuk menggerakkan tenteranya di Pasifik.

Pada masa itu kapal perang adalah kapal induk bagi mana-mana angkatan laut, jadi Jepun mensasarkan armada kapal perang Amerika Syarikat supaya mereka tidak berupaya menggerakkan tenteranya di kawasan Pasifik.

Menjatuhkan semangat Amerika Syarikat

Amerika Syarikat selalu mengenakan sekatan kepada Jepun, tambahan pula Jepun bergantung kepada bahan mentah dan teknologi dari Amerika Syarikat. Jepun mahu meruntuhkan ego Amerika Syarikat supaya negara itu akan menurut kehendak Jepun, di samping membuat perjanjian aman dengan Jepun.

Cita-cita Jepun ketika itu didorong oleh keyakinan bahawa mereka memiliki armada laut yang hebat berbanding Amerika Syarikat.

18 Januari 2017