Tadi berbual dengan abang CK pasal pengalaman dia mendaki Gunung Tahan puluhan tahun dahulu.

Tibalah pada satu bahagian ceritanya mengisahkan dia dan kawan-kawannya melihat cahaya-cahaya aneh menuju ke arah mereka.

Pada waktu itu mereka sudah berada di bahagian tinggi Gunung Tahan, mereka sudah memasang khemah dan menyalakan unggun api. Mereka berkumpul di sekitar unggun api sambil berbual-bual dan minum teh.

mereka sedang berehat pada jam 9 malam di sekeliling unggun api di Gunung Tahan ketika mereka sedari ada cahaya aneh sedang mendekati

Jam pada malam itu menunjukkan jam 9 malam.

Pada masa itulah mereka melihat ada cahaya di kaki gunung sedang mendaki naik menuju ke arah mereka. Mereka menyangkakan bahawa cahaya itu adalah daripada kumpulan pendaki yang baru sampai.

Cahaya itu ada lima semuanya, dan ia bergerak dengan jelas ke arah mereka. Cahaya itu bukan cahaya torch light, ianya berada di kejauhan, tetapi ia besar.

Mereka mula menyedari bahawa cahaya-cahaya itu bukan dari pendaki Gunung Tahan, kerana kelajuan pergerakan cahaya itu adalah pada kadar kepantasan yang mustahil untuk kumpulan pendaki menurutinya.

Mereka memanggil pemandu arah yang berada di dalam khemah.

Pemandu arah itu keluar dan melihat ke arah cahaya-cahaya aneh di kaki Gunung Tahan itu. Riak wajahnya berubah, dan dengan pantas dia mengarahkan kumpulan pendaki Gunung Tahan yang disertai abang CK tu untuk masuk ke dalam khemah.

Mereka semua segera masuk ke dalam khemah tanpa bertanya apa-apa. Bulu roma mereka meremang.

Keesokan harinya mereka meneruskan pendakian, dan pemandu arah mereka tidak membenarkan mereka bertanya dan tidak mahu bercerita selagi mereka di dalam hutan di kawasan Gunung Tahan.

Malangnya sampai sekarang pemandu arah itu tidak memberitahu kisah sebenar.

Ingin tahu tapi tak mahu bersua semula

Kejadian seperti itu menimbulkan pelbagai persoalan, dan kadangkala membuatkan kita tertanya-tanya adakah ia realiti atau hanya fantasi?

Ia mungkin tidak jelas di mata nyata namun perasaan ketika itu menceritakan segalanya. Kisah seperti itu tentulah takkan laku difilemkan.

Kisah-kisah mistik di Gunung Tahan

Ini pertama kali Tedi mendengar kisah cahaya aneh di Gunung Tahan, tapi pada suatu masa dahulu Tedi ada mendengar kisah hampir sama, tetapi ianya cahaya daripada tujuh puteri bunian yang mandi-manda di kawasan air terjun. Abang CK kata di situ tiada air terjun, tapi ada anak sungai.

Melalui carian Google dan Bing, Tedi tidak menemui kisah yang serupa sebaliknya beberapa kisah lain seperti, menemui orang asli berjubah putih keluar dari rumpun buluh, gadis sedang haid cuba diculik makhluk halus, penduduk kampung hilang selama tiga tahun di Gunung Tahan sedangkan dia rasa baru tiga hari, bertemu burung cantik atau lalat besar, mendengar suara memanggil, dan terdengar suara hilaian.

Kisah paling dekat Tedi jumpa adalah seorang pendaki ternampak cahaya putih, kuning, hijau, merah, yang selalunya menyorok di sebalik semak.

Cerita biasa sahaja tapi...

Cerita abang CK tu kelihatan biasa sahaja, tapi agak meremang bulu roma mendengarnya. Sudahlah kami ada perancangan untuk mendaki Gunung Irau... huhuhu