LIVERPOOL – Pengurus Newcastle United, Steve Bruce menyifatkan kemenangan 2-0 ke atas Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Goodison Park kelmarin mencerahkan peluang untuk menjarakkan kedudukan daripada kelompok tiga bawahan liga.

Bruce, 60, mengakui, kemenangan itu kembali melonjakkan semangat skuad bim­bingannya yang sebelum ini dilanda krisis kecederaan dan tahap kecergasan menyaksikan Newcastle gagal mengutip tiga mata daripada sembilan perlawanan terakhir liga.

“Kami adalah pasukan yang sukar dikalahkan apabila tiada lagi masalah kecederaan dan pemain juga berada pada tahap kecergasan terbaik.

“Jika tidak, kami akan menjadi sebuah pasukan yang sentiasa bergelut untuk mencapai keputusan positif. Saya tahu ia sukar tetapi saya mengambil tanggungjawab ini biarpun ramai orang mengkritik pasukan ini.

“Saya percaya dengan kualiti pemain-pemain saya dan mereka telah membuktikannya hari ini ke atas salah satu pasukan besar seperti Everton,” kata­nya.

Dalam masa sama, Bruce turut memuji kecemerlangan Callum Wilson yang akhirnya kembali menemui sentuhan penyudah tajam apabila meledak dua gol ke atas Everton pada minit ke-73 dan 93 untuk meraih kemenangan itu.

Ia adalah jaringan ke-10 Wilson dalam saingan EPL bersama Newcastle musim ini sejak berhijrah daripada Bournemouth dengan kontrak selama empat tahun menerusi yuran perpindahan dianggarkan bernilai £20 juta (RM110.8) pada September lalu. – AGENSI

Sumber: Oleh KOSMO!
1 Februari 2021, 11:15 am
20210201 1115
https://www.kosmo.com.my/2021/02/01/newcastle-rentap-ego-everton/