[t13g31] Rumah angkat pertama UMK
بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ, وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ
KOTA BHARU, 30 Julai 2013 -
Universiti Malaysia Kelantan (UMK) membuktikan keprihatinannya dalam membela nasib warga emas di negeri ini dengan menjadikan Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin di sini sebagai rumah angkat pertama universiti itu.
Rumah Seri Kenangan yang merupakan pusat jagaan harian warga emas ketika ini menempatkan seramai 129 penghuni.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Naib Canselor UMK, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose dalam satu majlis berbuka puasa bertemakan 'Yang Tua Disayangi, Yang Muda Dilindungi' yang turut dihadiri oleh Penguasa Rumah Seri Kenangan Taman Kemumin, Wira Mahmood, di sini baru-baru ini.
Menurut Raduan, pemilihan rumah jagaan tersebut sebagai rumah angkat UMK bertujuan memenuhi tanggungjawab sosial universiti kepada masyarakat, selain menambahkan keceriaan kepada penghuninya.
"Sebagai warga masyarakat kampus, UMK rasa terpanggil untuk menghulurkan sedikit sumbangan kepada penghuni di sini kerana sebahagian daripada mereka hidup dalam kesunyian walaupun ada yang mempunyai anak."
"Kehadiran kami adalah untuk melawat dan beramah mesra dengan penghuni di sini. Bagi warga emas yang sedang merindui anak-anak, anggaplah kami sebagai gantinya untuk melepaskan rindu pada anak-anak mereka yang tidak dapat datang," katanya.
Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Prof. Madya Abdul Aziz Ab. Latif; Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat UMK, Prof. Dr. Nik Maheran Nik Muhammad; Penolong Pengarah Kebajikan Masyarakat negeri, Norazaman Ab. Manaf dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 1, Nor Zainora Mohd. Ali.
Raduan berkata, program tersebut adalah permulaan kepada usaha universiti untuk melaksanakan pelbagai aktiviti dan program melibatkan pelajar dan penghuni rumah perlindungan warga emas berkenaan pada masa akan datang.
Katanya, beliau telah meminta pihak universiti untuk mengatur lebih banyak program berkaitan.
"Insya-Allah, pelbagai program akan dilakukan secara berterusan dalam apa jua bantuan untuk kita sampaikan kepada mereka. Paling penting mereka dapat rasa kasih sayang yang kita curahkan sebagai ganti kepada anak-anak dan cucu-cucu mereka," ujarnya.

Ulasan