Hari ini (ketika kiriman ini mula ditaip) temujanji Aina bersama Paediatric Cardiologist di Hospital Serdang. Temujanji ini untuk menggantikan temujanji bulan Disember 2018.

Letak Kereta di MAEPS Serdang guna Touch 'n Go

Master menurunkan Mummy dan Aina di lobi utama Hospital Serdang sebelum meletakkan kereta di MAEPS menggunakan kad Touch n Go. Bas shuttle dari MAEPS ke Hospital Serdang disediakan. Bayaran yang dikenakan kepada kami ialah RM8 (lapan Ringgit Malaysia) untuk tempoh lebih kurang 6 jam.
Kawan Master kata caj RM 8 adalah kadar maksimum bayaran letak kereta di sana.
Master lebih rela bayar letak kereta berbanding meletakkan kereta di tepi jalan kerana peratus kecurian kereta adalah lebih kurang kerana pencuri perlu masuk ke dalam tempat letak kereta dahulu, kemudian nak keluar kena bayar parking menggunakan kad Touch n Go, yang bermaksud mereka perlu masuk ke dalam tempat letak kereta tersebut menggunakan kereta dan sentuhkan kad Touch n Go, agak rumit, takkan mereka nak tinggalkan kereta mereka pula sebab nak keluar nak kena sentuh kad Touch n Go lagi. Tapi kerumitan ini hanya akan terjadi jika anda tak tinggalkan kad Touch n Go dalam kereta. Tapi stereng tetap kena kuncilah ya supaya tahap kerumitan tu semakin bertambah.
Bas shuttle agak cepat tapi Tedi tak pasti apakah jadualnya? Nampaknya van shuttle yang kami naiki tadi bergerak setelah penuh, dan ia  van shuttle itu agak cepat penuh. Van shuttle tersebut boleh memuatkan lebih kurang 11 penumpang.

Master Berebut Belon dengan Budak

gambar Aina sedang bergayut di papan gelongsor di Hospital Serdang
Gambar budak perempuan bernama Nor Aina berlagak jadi gimnas negara Malaysia nak bergayut di gelungsur. Mulut je juih lebih, naiknya tak juga.
# Wednesday, 24 April 2019, 10:50 # 20190424 # IMG_20190424_105100 # Xiaomi Redmi Note 5A # Hospital Serdang, Jalan Puchong, 43000 Kajang, Selangor #

Sepanjang pagi Aina bermain di taman permainan di Klinik Paediatrik tersebut. Master bawa sebiji belon untuk ditiup untuk dijadikan mainan Aina apabila tiba-tiba sahaja ada seorang budak lelaki cuba merampas belon tersebut. Berebut jugalah Master dengan budak lelaki itu sambil menanti bantuan daripada ibu bapanya. Master nak saja lepaskan belon tersebut kepada budak lelaki itu tetapi kalau Aina bertempik rasanya tidak ada seorang kanak-kanak pun yang jeritannya selantang Aina di situ.

Akhirnya Master menerima persetujuan Aina untuk memberi belon tersebut kepada budak lelaki tersebut, di mana Aina sendiri yang menghulurkannya, tetapi kedua ibu bapa budak lelaki tersebut seolah tidak mendengarnya. Mungkin sahaja mereka tak mahu menerimanya kerana tidak mahu Aina bersedih atau mungkin sahaja mereka tak mahu urusan keluarga mereka dicampuri. Contohnya macam anak menangis minta gula-gula, kita tak nak beri dan anak kita menangis, tiba-tiba ada orang lain pula bagi gula-gula tu, kita mungkin agak marah atau kecewa.

Beri Aina Ubat Tidur

Doktor tanya adakah perlu beri ubat tidur kepada Aina sebelum pemeriksaan jantung dijalankan. Pemeriksaan jantung ini menggunakan alat seperti ultrasound, memerlukan kerjasama kanak-kanak tersebut untuk baring dengan tenang semasa pemeriksaan dijalankan.

Master memutuskan Aina perlu diberi ubat tidur kerana kanak-kanak perempuan itu sedang melasak. Tambahan Aina memang mengantuk pun,  cuma ditahannya kantukan itu. Keputusan itu tampak agak tepat kerana Master kali ini dapat tumpukan perhatian pada skrin pengimbas jantung Aina tu berbanding melayan kerenah Aina.

gambar kanak-kanak perempuan tidur atas stroller bayi setelah diberi minum ubat tidur di Hospital Serdang memakai baju belang hitam putih dan seluar jeans denim.
Akhirnya Aina tidur atas stroller setelah diberi ubat tidur sebelum pemeriksaan jantung dijalankan. Umur 2 tahun 2 bulan 4 hari.
# Wednesday, 24 April 2019, 14:36 # 20190424 # IMG_20190424_143657 # Telefon pintar Xiaomi Redmi Note 5A # Hospital Serdang, Jalan Puchong, 43000 Kajang, Selangor #

Lubang Atas Sudah Tertutup

Hari ini doktor yang memeriksa Aina menyatakan bahawa lubang pada injap atas jantung Aina sudah tertutup sama sekali, membuatkan kami garu kepala kerana setahu kami hanya ada lubang pada injap bawah jantung Aina. Lubang pada injap bawah jantung Aina masih sama sahaja tidak mengecil atau membesar. Doktor kata tiada masalah, boleh dilayan seperti kanak-kanak yang tiada masalah jantung.

Sebelum umur Aina 5 tahun, ada kemungkinan untuk lubang pada jantungnya tertutup.

Tetapi lubang yang kecil itu membuatkan tekanan darah tinggi memecut melaluinya dan boleh merosakkan injap jantung yang lain. Pemeriksaan susulan perlu dilakukan setahun sekali untuk memastikan tiada masalah pada injap jantung yang lain.

Jangkitan Kuman pada Gigi Boleh Beri Kesan Buruk pada Jantung Berlubang

Selain itu doktor juga menyatakan bahawa pesakit jantung berlubang perlu dijaga kesihatan gigi mereka, jadi Aina perlu berus gigi dua kali sehari, selain itu tidak dibenarkan diberi minum susu semasa tidur, hanya air masak sahaja, dan sebelum tidur gigi Aina perlu dibersihkan.

Ini adalah kerana apabila berlaku jangkitan kuman pada gigi kanak-kanak penghidap sakit jantung berlubang, kuman akan masuk ke dalam darah dan mungkin akan duduk dalam lubang di jantung tersebut. Tedi tidak pasti kenapa hanya penghidap masalah jantung berlubang sahaja mempunyai masalah ini? Atau mungkinkah peratusnya lebih tinggi kepada penghidap sakit jantung berlubang?

Nasihat doktor ni terasa macam sindiran setepek kena atas batang hidung sebab Aina memang susah nak gosok gigi, kalau Master paksa pun akan digigitnya, sekaligus membuatkan Master terfikir apakah taktik untuk berus gigi budak 2 tahun?

Temujanji seterusnya ditetapkan pada 29 April 2020 jam 9 pagi.

Singgah di Wisma Sumber Asli

Selesai urusan di Hospital Serdang, kami singgah di Wisma Sumber Asli untuk ambil buah naga daripada kawan Mummy.

Singgah di Areeya Seafood

Kami singgah di Areeya Seafood untuk bungkus Siakap Kengsom. Harganya RM 29 (dua puluh sembilan Ringgit Malaysia) termasuk harga Nescafe suam.

Master juga minta sedikit daun mongga yang ada di hadapan kedai makan Areeya Seafood tersebut, kalau tak silap eja. Daun ini selalunya dimasukkan dalam masakan telur dadar.

Mesyuarat Combi

Pada jam 9 malam Master pergi menghadiri mesyuarat Combi bersama para penduduk taman kami.

Pembentang tu memberitahu bahawa punca utama kematian akibat Demam Denggi adalah disebabkan oleh lambat ambil tindakan. Dia nasihati para penduduk supaya segera ke klinik kesihatan kerajaan berdekatan untuk pemeriksaan jika demam tak kebah kerana di klinik kesihatan kerajaan keutamaan diberikan untuk kenalpasti demam denggi. Jika di klinik swasta mungkin kita hanya akan diberi ubat dan tidak diperiksa darah jika ada demam denggi.

Paras Gula dalam Darah Mummy Naik

Paras gula Mummy naik 8 malam ini, suspek utamanya adalah lauk Siakap Kengsom tadi.