Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI pada 16/04/2015 (ikhsan.azmi@kosmo.com.my)

KONSISTENSI akan menjadi kriteria utama pada sesi pemilihan pemain badminton untuk beraksi pada dua pertandi­ngan utama tahun ini iaitu Piala Sudirman di China dan temasya Sukan SEA 2015 di Singapura pada Mei dan Jun depan.

Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Morten Frost Hansen berkata, sesi pemilihan pemain yang dilakukan di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam dan hari ini merupakan sebahagian daripada proses untuk mencari pemain-pemain yang terbaik.

Gambar Mortern Frost Hansen memarahi seorang pemain badminton Malaysia

Jelasnya, antara kriteria lain yang akan turut menjadi perkara utama dalam proses pemilihan itu ialah konsistensi, prestasi semasa pada kejohanan-kejohanan yang disertai serta tahap kecergasan sebelum para pemain diberikan tanggungjawab untuk membawa cabaran negara.

“Saya tidak boleh menjanjikan jika pemain ini menang semua perlawanan dan dia akan terpi­lih kerana ia sebahagian daripada proses. Kami akan lihat juga prestasi mereka di kejohanan, tahap kecergasan dan banyak lagi perkara-perkara penting."
“Kami memisahkan pemain-pemain perseorangan lelaki kepada empat kumpulan dan wanita kepada dua kumpulan. Kami tidak boleh menggunakan format round robin kerana sesi pemilihan ini dua hari, jadi kami tidak mahu menjejaskan mereka,” kata Frost semalam.

Seramai 14 pemain perseora­ngan lelaki menyertai sesi pemilihan itu dan antara pemain yang mencuri tumpuan ialah dua bekas pemain BAM, Mohamad Arif Abdul Latif dan Tan Chun Seang.

Bagaimanapun, bagi dua lagi pemain profesional, Zulfadli Zulkiffli tidak disenaraikan kerana tidak menghadiri ujian kecergasan, manakala Misbun Ramdan Misbun masih dalam proses pemulihan kecederaan kaki.

Bagi perseorangan wanita pula, selain Tee Jing Yi dan juara Terbuka Kuala Lumpur 2015, Goh Jin Wei, pemain profesional negara, Sannatasah Saniru turut hadir untuk mencuba nasib pada sesi pemilihan yang disertai tujuh pemain itu.

Frost berkata, senarai nama pemain yang dipilih untuk ber­aksi pada Piala Sudirman akan diumumkan pada 27 April ini dan BAM turut menantikan keputusan kes doping Datuk Lee Chong Wei kerana bekas pemain No. 1 dunia itu masih menjadi harapan mereka pada kejohanan berpasukan campuran tersebut.

“Saya harap Chong Wei akan mendapat keputusan yang baik supaya dia boleh beraksi. Pen­ting juga untuk dia menyertai Sukan SEA kerana dia memerlukan banyak kejohanan untuk kembali di tahap sebenar.

“Saya rasa untuk Sukan SEA tiada masalah kerana kami boleh menggugurkan nama pemain pada saat-saat akhir. Empat pemain perseorangan akan dipilih ke Sukan SEA dan dua pemain untuk menyertai Piala Sudirman,” jelas Frost.

Piala Sudirman akan berlangsung di Dongguan (10 hingga 17 Mei), manakala Sukan SEA di Singapura pada 5 hingga 16 Jun depan.