بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم. اَللَّهُمَّ صَلِّى عَلَى مُحَمَّدٍٍ، وَعَلَى آلِهِ مُحَمَّدٍٍ


Tarikh: 20260304 | Masa: 02:25 | Penulis: Tedi

Misteri Burung Tekukur: 3 Peribahasa Melayu Yang Perlu Anda Tahu

Selamat datang ke interpretZZ! Mengapa Tedi memilih burung Tekukur sebagai subjek utama kali ini? Dalam tradisi Masyarakat Melayu, Tekukur atau Balam bukan sekadar burung hiasan yang merdu suaranya, tetapi ia sering dijadikan simbol ketaatan, nasib, dan juga peringatan tentang bahaya. Sifatnya yang jinak-jinak merpati namun penuh dengan kiasan hidup menjadikan ia subjek yang sangat menarik untuk diterokai melalui Kamus Istimewa Peribahasa Melayu.

Indeks


Bagai Tekukur Mengikut Kata

Maksud peribahasa: Anak angkat yang boleh diperlakukan sesuka hati oleh ibu atau bapa angkatnya.

Contoh Ayat: Kehidupan Amin sangat memilukan kerana dia dilayan bagai tekukur mengikut kata oleh bapa angkatnya sejak berpindah ke bandar itu.

Komentar Tedi: Melalui peribahasa ini, kita dapat melihat betapa Bahasa Malaysia menggunakan analogi burung yang dikurung untuk menggambarkan hilangnya kebebasan diri.

Jerat Tiada Lupa Akan Balam, Tetapi Balam Lupa Akan Jerat

Maksud peribahasa: Sudah lupa akan bahaya, tetapi sebenarnya bahaya masih tetap mengancam.

Nota Perkataan: Balam = burung Tekukur.

Contoh Ayat: Pemandu itu diingatkan supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya yang licin itu kerana jerat tiada lupa akan balam, tetapi balam lupa akan jerat.

Komentar Tedi: Tedi rasa ini adalah peringatan yang sangat praktikal. Jangan sesekali leka apabila keadaan mula terasa selesa dan selamat.

Paksa Tekukur Padi Rebah, Paksa Tikus Lengkiang Terbuka

Maksud peribahasa: Mendapat keuntungan tanpa bersusah payah.

Sinonim: Padi rebah, paksa tekukurlah.

Nota Perkataan: Paksa = Masa (waktu, saat) yang baik atau peluang yang baik. Lengkiang = Kepuk kecil atau tempat menyimpan padi.

Contoh Ayat: Apabila syarikat gergasi itu menarik diri daripada persaingan, Perniagaan Ali mendapat durian runtuh yang ibarat paksa tekukur padi rebah, paksa tikus lengkiang terbuka.

Komentar Tedi: Puaslah Tedi cuba fahami paksa tekukur dan paksa tikus tu apa? Tedi sangkakan tekukur dan tikus itu memaksa sehinggakan padi rebah dan lengkiang terbuka di mana konteksnya pada masa ini seolah-olah kita mendapat keuntungan daripada usaha tekukur dan tikus, tetapi sangkaan Tedi itu jauh panggang dari api! Paksa tu rupa-rupanya adalah perkataan sastera lama (sl) yang bermaksud masa atau kesempatan yang baik. Konteksnya terus berubah tekukur dan tikus yang mendapat keuntungan apabila padi rebah dan lengkiang terbuka.


~20260304~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih