Alor Setar: Penyerang import Kedah Kipre Tchetche mahu melupakan seketika jumlah jaringan tujuh gol yang dihasilkan untuk skuad Lang Merah setakat ini dalam Liga Super sebaliknya berazam mahu membantu Kedah mengutip tiga mata apabila bertandang ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur berdepan Melaka United malam esok

Penyerang kelahiran Ivory Coast ini berkata jumlah jaringan itu tetap memberi lonjakan motivasi buat dirinya, namun sasaran tiga mata buat pasukan lebih penting bagi memastikan kedudukan Kedah dapat kembali kekal pada tangga kedua Liga Super musim ini.

"Saya bersyukur kerana dapat membantu Kedah dan menghasilkan jumlah tujuh gol setakat ini, tetapi apa yang lebih penting buat saya adalah kejayaan pasukan untuk mendapatkan kemenangan memandangkan saingan sangat sengit merebut tempat kedua liga.

"Sebagai penyerang, memang tugas saya mencari seberapa banyak gol, namun saya tidak meletakkan kepentingan peribadi sebagai perkara utama kerana usaha secara berpasukan adalah aspek lebih penting bagi merealisasikan impian kemenangan buat pasukan.

"Semua kemenangan yang kami peroleh setakat ini memberi motivasi buat pemain dan ini terus meningkatkan keazaman buat kami bagi meneruskan perjuangan untuk kembali naik ke tangga kedua." katanya.

Kipre mengakui dia memikul tugas penting bersama Kpah Sherman dalam mengatur serangan Kedah dan melalui dua perlawanan terakhir Liga Super ini bakal menjadi medan terbaik untuk dirinya membuktikan ketajaman.

"Kekalahan lalu kepada Pahang kini membuka ruang untuk skuad Kedah bangkit kembali dengan keazaman yang tinggi walaupun kami terpaksa beraksi di gelanggang berkecuali.

"Fokus utama saya dan juga pemain lain adalah mengikut arahan yang tepat agar kami tidak keciciran mata lagi dan ini sedang diatur oleh jurulatih." katanya.

"Melaka United adalah pasukan yang hebat dan kami tidak mahu tersilap langkah dan mengambil mudah dalam apa jua cabaran yang akan dihadapi nanti." katanya.

Kipre merekodkan tujuh gol bersama Kedah setakat ini manakala penyerang import kelahiran Liberia, Sherman mengekorinya dengan jumlah jaringan lima gol.


Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2020 @ 2:56 PM di Harian Metro melalui artikel bertajuk 

Sasaran tiga mata lebih penting - Kipre