KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kedah FA, Aidil Sharin Sahak memberikan pujian kepada seluruh pemainnya terutamanya penjaga gol muda, Muhammad Azri Ghani yang menjadi tulang belakang kepada kemenangan ke atas Melaka 1-0 sekali gus berjaya melonjak ke tangga kedua CIMB Liga Super Malaysia 2020.

Selepas kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) meraih trofi CIMB Liga Super buat kali ketujuh berturut-turut pada Jumaat lalu, perebutan naib juara kini menjadi perhatian dengan Kedah FA kembali merampas kedudukan daripada Perak FA yang sekarang menduduki tangga ketiga dengan perbezaan satu mata sahaja.

Sudah pasti dengan kemenangan ke atas Melaka semalam akan memberikan kelebihan kepada Kedah yang hanya memerlukan satu mata sahaja lagi dalam perlawanan terakhir berdepan Perak, Sabtu ini untuk mengesahkan slot ke Piala AFC 2021.

Bagaimanapun, Aidil menyifatkan aksi menentang Melaka semalam begitu sengit dengan percubaan bertali arus daripada lawan yang berusaha menyamakan kedudukan, tetapi ketangkasan Azri yang kali pertama diturunkan menjadi penyelamat untuk akhirnya Kedah meraih tiga mata berharga.

Gambar penjaga gol muda Kedah FA 2020, Muhammad Azri Ghani
Gambar penjaga gol muda Kedah FA 2020, Muhammad Azri Ghani

“Pertama sekali, tahniah kepada semua pemain kerana sememangnya ia tidak mudah berdepan Melaka dengan mereka sentiasa memberi tekanan kepada kami.

“Namun, pemain-pemain saya beraksi cemerlang khususnya daripada aspek pertahanan dan penjaga gol muda seperti Azri tidak mengecewakan saya untuk menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada lawan.

“Sekarang, perlawanan terakhir adalah menentang Perak di mana kita tahu mereka memang kuat berdasarkan pencapaian dalam beberapa perlawanan lepas dan ini akan menjadi cabaran hebat kepada Kedah.

“Jadi semua pemain sekarang kena berehat secukupnya dahulu sebelum kembali bersedia untuk beberapa hari ini sebelum aksi pada Sabtu ini”, katanya.

Hanya berbaki satu sahaja lagi perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier sebelum pasukan bersedia untuk menghadapi saingan TM Piala Malaysia 2020.

Bagaimanapun, JDT terlebih dahulu telah meraikan kejayaan mereka menjulang trofi CIMB Liga Super selepas menang 4-1 ke atas Sabah di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat lalu.

Perlawanan lain menyaksikan Perak pula seri 3-3 dengan Pahang untuk meletakkan mereka di tangga ketiga selain Terengganu FC di tempat keempat selepas menang 3-0 ke atas Felda United.

Selangor yang kini di tangga kelima lakar kejutan dengan kemenangan besar 7-0 ke atas PDRM yang sah tersingkir ke Liga Premier 2021 manakala UiTM FC pula tewas 2-4 kepada PJ City FC untuk berada di kedudukan ketujuh.


Petikan artikel dari MalaysiaGazette bertajuk "Aidil puji ketangkasan Azri" yang diterbitkan pada 20201008.