ALOR SETAR: Kedah memperoleh bekalan tipis apabila menewaskan FELDA United 1-0 pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Darul Aman, malam tadi. 

Beraksi penuh semangat di hadapan penyokong sendiri, Kedah membuat gerakan untuk mencari gol awal  tetapi tandukan pemain tengah Jonatan Bauman tersasar selepas menerima hantaran Zaquan Adha pada minit ke-5. 

Kedah terus mengasak pintu gol lawan dengan percubaan pemain mudanya Hidhir Idris pada minit ke-10 melepasi palang gol tatkala FELDA tampak lebih gemar bertahan dan kekal berdisiplin dalam menangkis serangan yang dilancarkan tuan rumah. 

Penjaga gawang FELDA Norazlan Razali terus memastikan gawangnya tidak dibolosi apabila menyelamatkan dua percubaan menerusi tandukan daripada Bauman pada minit ke-31 dan Renan Alves pada minit ke-36.

Pada babak kedua, Kedah terus melancarkan usaha memburu gol tetapi sepakan percuma oleh Baddrol Bakhtiar pada minit ke-49 berjaya ditepis keluar Norazlan.

Serangan bertali arus yang dilancarkan Kedah akhirnya berhasil apabila mereka dianugerahkan penalti selepas pemain pertahan tuan rumah Renan Alves dijatuhkan dalam kotak penalti.

Dan peluang keemasan itu tidak disia-siakan oleh Fernando Rodriguez untuk menyempurnakan penalti berkenaan pada minit ke-69 yang menjadi gol tunggal pada perlawanan itu.

Selepas jaringan itu, Kedah semakin bersemangat memburu gol tambahan namun tiada jaringan dihasilkan sehingga tamat permainan.

Sabtu, 22 Jun 2019 | 11:33pm | Izzali Ismail | Berita Harian