Pagi ini Tedi nak melalut sedikit pasal kereta conti kerana ada dua kisah yang agak menggelikan hati Tedi apabila terdengar perkataan "kereta conti".

Gambar sebuah kereta continental berwarna putih keluaran Lincoln
Kereta Jaguar adalah salah sebuah kereta conti (continental) kerana berasal dari benua Eropah

Apakah kereta conti?

Kereta conti (disebut "konti") adalah nama manja kepada kereta continental yang dihasilkan rekaannya oleh syarikat pengeluar kereta Eropah. Tetapi ada juga yang menganggap kereta buatan Amerika Syarikat sebagai kereta continental.

Contoh jenama yang popular di Malaysia adalah seperti BMW, Mercedes Benz, Ford, AUDI, VW, Renault dan Peaugeot.

Negara-negara yang mengeluarkan kereta continental terbaik adalah seperti Jerman, Itali, Perancis dan England.

Kelakarnya mengikut pembacaan Tedi, istilah kereta conti ini adalah digunakan oleh orang Malaysia dan terkenal juga di Singapura kerana lazimnya cukai untuk kereta keluaran benua Eropah adalah lebih mahal berbanding kereta keluaran negara Asia.

Kereta continental juga terkenal kerana dikatakan mempunyai rekaan mewah, kejuruteraan hebat, dan enjin berkualiti tinggi.

Tetapi nak jaga kereta continental ini bukannya murah kerana alat gantinya lebih mahal dan juga kemahiran yang diperlukan untuk selenggara kereta continental.

 

Kisah semasa pandu uji Mazda CX5 di Bangi.

Master adalah pemandu tegar Proton SAGA BLM 1.3 MT. Suis lampu signal Proton SAGA BLM adalah terletak di sebelah kiri stereng kereta.

Semasa memandu uji Mazda CX5 di Bangi, Master tersilap pasang suiz wiper yang terletak di sebelah kiri stereng.

Terus jurujual Mazda CX5 itu berkata, "Owh, sekarang guna kereta conti ya."

Master diam sahaja seolah-olah membenarkan kata-kata si jurujual, tetapi tiba-tiba Mommy menyampuk, "Tidaklah, sekarang kami guna Proton SAGA BLM sahaja".

Hadoila.... spoil betullah Mommy ni, baru je Master dan Tedi nak berlagak sikit.

Sejak hari itu baru Tedi tahu bahawa kereta continental mempunyai suiz lampu signal di sebelah kiri stereng. Tidak hairanlah Proton SAGA BLM 1.3 MT tahun 2008 mempunyai ciri sedemikian kerana Proton menggunakan teknologi kendalian Lotus Car dari United Kingdom yang juga kereta continental.

 

Untunglah pakai kereta conti

Tapi yang paling kelakar adalah apabila berbual dengan kawan-kawan mereka akan berkata, "Untunglah kau guna kereta conti" atau "Kereta conti memang kendaliannya bagus..", apabila mereka menyentuh tentang kereta Mommy iaitu Subaru XV STI.

Terpaksalah Master memberitahu mereka bahawa Subaru adalah kereta Jepun. Subaru adalah jenama di bawah Fuji Heavy Industry sebelum mereka menukar nama kepada Subaru.

Terkejut kawan-kawan Master kerana mereka sebelum itu mengutuk kereta-kereta Jepun yang dikatakan kendaliannya tidak bagus, dan jika mahukan kendalian kereta yang bagus, kita harus beli kereta continental atau sekurang-kurangnya kereta Proton!

Pelik juga Tedi kenapa ada stigma bahawa kereta Jepun kendaliannya tidak bagus? dan bagaimana pula Subaru boleh disalah anggap sebagai kereta continental?

Mungkin kerana Subaru popular dalam arena perlumbaan rally di Eropah?

 

Maksud Continental

Perkataan "continental" adalah daripada Bahasa Inggeris yang mempunyai beberapa maksud mengikut Kamus Inggeris - Melayu Dewan

  1. orang Eropah
  2. benua
  3. kebenuaan
  4. Eropah

Jadi kita boleh anggap bahawa kereta continental adalah merujuk kepada kereta buatan Eropah, takkan kereta benua pula kan? Maksud kereta buatan Eropah tu tentulah kereta yang dicipta di Eropah walaupun mungkin kini ia dipasang di negara China.

 


15 Oktober 2016, 20161015