Alor Setar : Pemain import dalam kalangan tiga negara Asean dijangka bakal membarisi skuad Kedah bagi melengkapkan kuota berkenaan sebagai persiapan skuad Lang Merah untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC untuk musim 2021.

Menurut sumber terdekat, calon-calon pemain berkenaan difahamkan bakal dipilih sama ada dari negara Singapura, Thailand, dan juga Indonesia.

"Pemain-pemain yang bakal dipilih itu sedang dalam rundingan sebelum dipilih ke peringkat lebih lanjut.

"Antara calon yang sedang dirunding itu ialah pemain berpotensi dari negara Asean iaitu Singapura, Thailand dan Indonesia untuk mengisi kuota ini.

"Bagaimanapun belum ada pengesahan lanjut siapakah yang bakal dipilih untuk mengisi kedudukan itu setakat ini." katanya.

Kedah memulakan langkah pengambilan pemain kuota Asean pada 2018 apabila mengikat pemain kebangsaan Filipina, Alvaro Silva yang sebelum itu beraksi bersama kelab Vietnam Ha Noi FC.

Musim selanjutnya Kedah mengorak langkah dengan mengikat pemain kebangsaan skuad Singapura dan juga pemain Home United musim 2018, Shakir Hamzah yang kekal bersama skuad Lang Merah selama dua musim bermula 2019 hingga 2020.

Turut menjadi topik panas sejak beberapa hari yang lalu hingga kini adalah bekas pemain tengah UiTM FC kelahiran Lebanon Rabih Ataya yang dikatakan sedang diikat Kedah untuk menggantikan pemain kuota Asia Amin Nazari.

Selain itu, bagi kategori pemain tempatan pula, Syazwan Zainon dan Rodney Celvin yang beraksi bersama Selangor musim ini serta pemain Felda United, Arif Farhan Md Isa juga tidak terlepas dari spekulasi apabila turut dikaitkan dengan Kedah pada musim depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2020 @ 6:08 PM 20201120

https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2020/11/643954/kedah-intai-pemain-singapura-thailand-dan-indonesia