ALOR SETAR: Dua buah syarikat akan bergabung bagi membeli 80 peratus saham Darul Aman FC (DAFC) Sdn. Bhd. yang juga pemegang hak ke atas pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Pegangan saham itu bakal bertukar tangan daripada Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI Kedah) kepada dua buah syarikat tersebut tidak lama lagi.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, dua syarikat tersebut iaitu Go Auto Group dan Flumen Holdings Sdn. Bhd. dijangka membeli pegangan saham tersebut pada nilai kira-kira RM24 juta.

“Ini merupakan gabungan syarikat tempatan yang terdiri daripada anak-anak jati Kedah. Saya difahamkan, mereka ini memiliki pengalaman dalam menguruskan pasukan bola sepak.

“Kita telah memperhalusi perkara ini dan kedua-dua syarikat ini akan bergabung dengan memiliki 80 peratus saham dalam DAFC secara konsesi selama lima campur lima tahun, tertakluk kepada perjanjian yang ditentukan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pada Majlis Ramah Mesra Bersama Penghuni Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Laka Selatan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi menambah, beliau menjangkakan perkara itu tidak akan mengambil tempoh lama memandangkan syarikat tersebut secara dasarnya telah bersetuju membuat pengambil alihan pegangan saham tersbeut.

“Tak perlu tunggu lama-lama, mungkin dalam satu rundingan pun dah cukup. Kita sangat alu-alukan kedatangan mereka untuk mengambil alih pegangan saham ini.

“Pemilihan kedua-dua syarikat ini berdasarkan rekod dan potensi kewangan, perancangan, pembangunan perniagaan bola sepak yang mandiri serta membawa nilai dan aktiviti pelaburan berimpak tinggi kepada Kedah,” katanya.

Sementara itu, katanya, kedua-dua syarikat itu akan turut terlibat dengan satu projek berimpak tinggi bagi menjadikan Kedah sebagai awbuahbhab pemasangan kenderaan teknologi hijau dan industri pertahanan utama di Asia Tenggara.

“Projek ini akan menjana pelaburan langsung ke Kedah dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion. Di pihak kerajaan negeri, kita bersedia memberi laluan untuk membuat pelaburan di tanah seluas kira-kira 121 hektar di Sungai Petani bagi membawa masuk teknologi baharu khususnya kenderaan berasaskan elektrik

“Insya-Allah langkah itu akan membawa peluang pekerjaan kepada lebih 8,000 orang selain membantu membuka ruang untuk kemasukan pemain industri automotif dan pertahanan terkemuka dunia,” katanya.

Oleh MOHD RAFIE AZIMI
6 Januari 2021, 8:14 pm
20210106

Sumber: https://www.utusan.com.my/sukan/2021/01/dua-syarikat-china-gabung-beli-kedah/