بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم


PETALING JAYA 26 Mei - Datuk Lee Chong Wei percaya, dia mampu kekal sebagai pemain No. 1 negara dalam tempoh dua tahun lagi jika terus aktif di pentas antarabangsa.

Malah, seandainya dia memilih untuk menyahut cadangan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin agar membawa cabaran Malaysia dalam Piala Thomas 2018, peranan yang akan dimainkan pastinya perseorangan pertama dan bukan ketiga.

Sejurus selepas Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark dalam separuh akhir di Kunshan, China, Jumaat lalu, bekas pemain No. 1 dunia itu mengumumkan bahawa kejohanan tersebut adalah penampilan terakhirnya dalam Piala Thomas.

Bagaimanapun, selepas mendengar pandangan Khairy, yang mahu Chong Wei terus membantu pasukan negara dalam Piala Thomas 2018, sekali pun sebagai perseorangan ketiga, pemilik dua pingat perak Sukan Olimpik itu menyatakan kesediaan untuk menyahut pelawaan tersebut.

“Saya tidak fikir saya hanya akan bermain sebagai perseorangan ketiga (dalam Piala Thomas 2018).

“Jika menteri mahu saya bermain, saya akan bermain, tetapi saya perlu mengambil kira banyak faktor antaranya kecergasan, tiada sebarang kecederaan dan prestasi pada tahap terbaik.

“Jika sebaliknya, saya tidak akan bermain, lebih baik beri peluang kepada pemain muda,” katanya ketika ditemui dalam majlis prapelancaran kejohanan badminton Purple League di sini, hari ini.

Pemain No. 2 dunia itu memberi bayangan, jika dia terus berlatih dengan gigih, kedudukannya sebagai pemain No. 1 negara masih sukar digugat dalam tempoh dua tahun akan datang, walaupun usianya sudah menginjak 36 tahun ketika itu.

“Jika saya mahu dan saya rasa diri saya masih muda, saya boleh kekal sebagai perseorangan pertama,” ujarnya.

Ketika ditanya mengenai Datuk Misbun Sidek yang dikatakan memberi bimbingan kepada pemain Denmark sebelum Piala Thomas, Chong Wei memberitahu, pemain-pemain itu mungkin mengenali bekas jurulatihnya itu.

“Saya tidak tahu mengenai isu ini, malah bila mereka datang (ke Malaysia) pun saya tak tahu, saya tak mahu komen,” ujarnya.

Mengulas mengenai peranan kelab dalam membantu melahirkan pemain, Chong Wei berkata, situasi di negara ini berbeza dengan negara-negara pesaing seperti Jepun, Indonesia dan Denmark yang mana kelab-kelab badminton telah bertapak kukuh.

 

y


~20160526~
jika kiriman ini bermanfaat, tolong lawat iklan yang ada ya, terima kasih