Alor Setar: Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar yakin gandingan pemain lama dan baharu mampu memperkuatkan lagi pasukan bagi menghadapi saingan Liga Super musim ini.

Katanya, sehingga kini pasukan terbabit masih dalam peringkat mencari dan membentuk keserasian di antara pemain lama dan baharu namun tetap akan untuk memberikan yang terbaik untuk Kedah.

"Masih awal hendak beri komen kerana kami baru 10 hari menjalani latihan bersama, jadi keserasian itu masih dicari tetapi akan tetap beri yang terbaik untuk saingan 2021 dan mengharapkan sesuatu yang positif untuk pasukan Hijau Kuning.

"Saya juga berharap pemain lama yang kembali dengan pasukan Kedah dapat mempamerkan prestasi yang cemerlang untuk membantu pasukan bermain dengan lebih baik," katanya ketika ditanya mengenai keserasian antara pemain dalam pasukan Kedah 2021.

Terdahulu, Baddrol dipilih sebagai Ikon Kempen Pembudayaan Norma Baharu Negeri Kedah pada Perhimpunan Pagi Penjawat Awam di Wisma Darul Aman yang dihadiri Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Sebelum ini, laman rasmi Kedah Darul Aman (KDA) FC melaporkan pengendali Aidil Sharin Sahak kekal membimbing skuad Hijau Kuning untuk musim depan dan beberapa pemain turut dikekalkan antaranya Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Shahril Sa'ari, Faizat Ghazli, Zulkhairi Zulkepli, Azammuddin Akil, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman.

Skuad bimbingan Aidil Sharin itu turut dikhabarkan bakal mengekalkan trio pemain import bagi saingan musim 2021.

Tiga pemain import berkenaan ialah duo serangan, Kpah Sherman, Kipre Tchetche dan pemain pertahanan, Renan Alves.Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor turut memberi bayangan skuad KDA FC musim 2020 jauh lebih mantap dan mampu menjadi antara pasukan terbaik di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 2:34 PM
20210107

Sumber: https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/01/661313/baddrol-yakin-gandingan-pasukan-kedah