ALOR SETAR: Senarai jurulatih dan pemain pasukan bola sepak Kedah akan diumumkan pada 15 Januari hadapan setelah ia disenarai pendek pada 10 Januari 2021.

Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pasukan Kedah kali ini dianggap lebih mantap berbanding musim lalu (2020).

Bagaimanapun kata beliau, pembiayaan pengurusan lebih kecil berbanding sebelum ini.

“Pembiayaan untuk musim hadapan lebih kecil berbanding RM30 juta musim lepas, tetapi tidaklah terlalu kecil.

“Kita akan susun semula struktur gaji dan elaun serta pemain. Pasukan tersebut dianggap lebih kuat untuk memenangi semua pertandingan dalam Liga Super dan piala lain yang dipertandingkan,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, di sini, semalam.

Pasukan Bola Sepak Kedah (KFA) di bawah pengurusan baru berjaya melunaskan hutang tertunggak sebanyak RM10 juta daripada keseluruhan hutang sebanyak RM15.5 juta.

Sehingga sekarang difahamkan baki hutang KFA hanya sekitar RM5.5 juta selepas pengurusan mengambil alih badan bola sepak itu Mei lepas.

Malah tunggakan gaji pemain dan pegawai bagi April, Mei dan Jun yang berjumlah RM4.8 juta berjaya diselesaikan.

Sanusi yang juga Presiden KFA berkata, pasukan yang bakal diumumkan tersebut sebahagiannya masih mengekalkan pemain lama.

Katanya turut disenaraikan pemain baharu tempatan atau import.

Muhammad Sanusi sebelum ini memaklumkan bahawa beliau mempunyai kejutan buat penyokong Hijau Kuning berhubung senarai nama jurulatih dan pemain bola sepak negeri itu.

Katanya, ramai pemain lama akan dikekalkan dan wajah baharu akan diperkenalkan tanpa mengetahui tarikh sebelum ini.

Sementara itu, Kedah turut memperkenalkan logo baharu pasukan itu yang mirip kepada logo ciptaan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil.

Menurut Muhammad Sanusi logo baharu itu merupakan hasil ciptaan salah seorang penyokong pasukan ‘hijau kuning’ yang dipilih daripada 900 penyertaan diterima KFA sebelum ini.

Tambah beliau, logo yang dicipta oleh penyokong yang dikenali sebagai ‘Ku Basri’ itu telah melalui peringkat tapisan beberapa jawatan kuasa yangg terlibat.

Penciptanya akan menerima hadiah berjumlah RM5,000 seperti dijanjikan sebelum ini. –HARAKAHDAILY 17/12/2020

20201217

Sumber: https://harakahdaily.net/index.php/2020/12/17/kos-pengurusan-pasukan-kedah-lebih-kecil/