Setelah menulis coretan yang agak serius sebelum ni, kali ni Tedi nak santai sedikitlah. Itupun Tedi tak pasti jika boleh dikategorikan tulisan santai, hihihi.

Tedi nak menulis pasal pencantasan. Mungkin mengenai tanaman di belakang rumah kami.

Mencantas Pokok Hutan

Di belakang rumah kami ada satu pokok liar, ia sudah besar dan akarnya semakin kuat dan kukuh mencengkam tanah yang sekangkang kera itu.

Master memerhatikan perkara ini dengan serius, kerana dia pasti bahawa kehadiran pokok itu mendatangkan masalah kepada tanaman kami seperti serai, pandan, betik, ulam raja, limau purut, pokok daun kari dan pokok pisang.

Oleh itu Master telah mencantas pokok liar itu, malahan Master telah menakik pokok itu bercerai bahagian batangnya daripada perdunya, namun pokok itu masih tidak tumbang kerana ia tergantung kepada pagar rumah kami. Malahan boleh dikatakan ia telah "menyerap" pagar rumah kami.

Logiknya pokok itu akan mati dalam beberapa hari kerana keputusan bekalan air dan zat daripada akarnya, namun pokok itu kelihatan hijau sehingga hari ini.

Namun Tedi telah dapat melihat kesannya tanaman lain mula segar terutamanya pokok pisang. Betik yang Tedi ingatkan sudah pupus, tiba-tiba sahaja bertunas kembali.

Mencantas pada pokok ini lebih bermaksud "sabotaj" supaya tanaman lain beroleh keuntungan.

Mencantas Pokok Daun Kari

Walaupun begitu Tedi agak kehairanan melihat Pokok Daun Kari yang hidup segan, mati tak mahu. Padahal pokok ni lah yang Tedi baja dan siram melebihi tanaman yang lain.

Tedi teringat peribahasa, "jangan pisang berbuah dua kali", Tedi rasa Tedi boleh gunapakai falsafah tersebut ke atas pokok kari ni.

Maka Tedi pun gali pokok kari tu sehingga terbongkar akarnya. Tedi lihat akarnya pun sudah liat, Tedi buang bahagian akar yang lama tu dan tinggalkan akar-akar anak-anak pokok kari tersebut.

Tedi juga gemburkan tanah dan campurkan dengan tanah kompos.

Tedi tanam semula anak-anak pokok kari tu, tengoklah nanti apa jadi, adakah mereka boleh survive?

Sebenarnya ini bukan aktiviti mencantas sebaliknya cabut terus akar pokok kari tua tu, hehe.

Mencantas Pokok Mangga

Satu lagi pohon besar yang ada di belakang rumah kami ialah pokok mangga yang hidup daripada biji mangga yang dibuang di belakang rumah. Pokok mangga yang kami tanam di depan rumah semuanya tak menjadi.

Sebaliknya pokok mangga yang kami tak tanam inilah yang subur. Tetapi mungkin ia tidak kami ingini. Kami terpaksa cantas pokok mangga ini, takkan nak biarkan ada pokok besar di belakang rumah?

Kalau pokok pisang tu bolehlah sebab akarnya tidak besar dan bisa merosakkan rumah.

Tetapi pokok mangga ni Master cantas dahannya sahaja. Barulah betul disebut mencantas.

Tetapi mungkin satu masa nanti pokok mangga ni juga bakal ditebang, mungkin apabila pokok pisang sudah merimbun dan memayungi tanaman yang lain.

20200513  \(^0^)/