PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menafikan segala tuduhan yang dilemparkan oleh Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Asmirul Anuar Aris terhadap badan induk itu.

Asmirul mendakwa, kegagalan pasukan Liga Malaysia (Liga M) menguruskan kewangan pasukan dengan sebaiknya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berpunca daripada kelewatan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) merangka perancangan baharu buat semua pasukan.

Gambar Stuart Ramalingam, Persatuan Bolasepak Malaysia.
Stuart Ramalingam, FAM. Gambar NSTP.

Katanya, ia sekali gus mengheret beberapa pasukan termasuk Kedah ke kancah krisis kewangan disamping tiadanya bantuan dana khas daripada FAM untuk menyelamatkan pasukan.

Bagaimanapun, segala tuduhan berkenaan dinafikan oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam yang mengakui sudah memaklumkan setiap perkembangan dan keputusan menerusi surat yang diemailkan kepada pasukan.

Jelas Stuart, terdapat empat surat sudah diedarkan termasuk mengenai penangguhan liga dan larangan latihan oleh pasukan (17 Mac), surat lanjutan penangguhan PKP fasa kedua (25 Mac), surat perancangan alternatif mengenai jadual liga (5 April) dan lanjutan PKP fasa ketiga (10 April).

"Jadi persoalannya di sini, adakah berasas dakwaan yang dinyatakan oleh YB Asmirul dalam kenyataannya itu atau beliau sendiri sebenarnya yang tidak meneliti atau memahami isi kandungan surat-surat yang sudah pun di-emel kepadanya itu?

"Kami di FAM dan juga di MFL pastinya akan bertindak segera sebaik saja kerajaan mengisytiharkan bahawa tempoh PKP sudah berakhir nanti untuk FAM dan MFL mengumumkan secara spesifik tarikh-tarikh pertandingan Liga M akan disambung semula.

"FAM tidak mahu dilihat sebagai badan induk yang terburu-buru membuat sesuatu ketetapan terlalu awal kerana hal ini memerlukan perancangan teliti, perbincangan menyeluruh dan penelitian bersama banyak pihak supaya keputusan yang dibuat itu tidak diubah-ubah pula pada kemudian harinya, sekaligus nanti kredibiliti FAM pula yang akan dipersoalkan oleh YB Asmirul," kata Stuart.

Selain itu, beliau turut menyatakan tuduhan tidak berasa itu sebenarnya untuk menutup kesalahan pihaknya yang gagal melunaskan tunggakan gaji skuad Lang Merah.


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 April 2020 @ 8:12 PM di Harian Metro, disediakan oleh Firdaus Hashim, firdaushashim@hmetro.com.my