Pada 27 Mei Mummy mula dimasukkan ke Wad Bersalin Akik 2 di HUSM.

Kami mendaftar masuk wad pada jam 3 petang di Klinik Eksekutif Usains HUSM. Masalah utama di Klinik Usains ini ialah masalah tempat letak kereta yang terletak berjauhan terutama untuk mereka yang tidak biasa, namun ada disediakan khidmat joki untuk membantu kita letak kereta.

Masalah tempat letak kereta tu menyebabkan Master kena beredar cari tempat letak kereta awam HUSM. Master bertanya kepada Polis Bantuan Klinik Usains tu tapi jawapannya acuh tak acuh dengan muka tak manis, mungkin polis biasalah muka tak manis, dan mungkin juga jawapan acuh tak acuh kerana itu bukan kerja beliau. Tapi Klinik Eksekutif Usains ni sayap swasta Hospital Universiti Sains Malaysia, dan jangkaan pelanggan terhadap perkhidmatan swasta seperti biasa sangat tinggi. Kalau kena pelanggan yang sombong dan angkuh mungkin akan ditengking, dimaki hamun kerana mereka berasakan khidmat yang diperolehi tak semahal bayaran yang dibuat. Moga pentadbiran Klinik Usains boleh perbaiki keadaan ini.

Suasana Wad Bersalin Akik HUSM

Mummy perlu dimasukkan ke Wad Bersalin Akik 2 sekitar jam 3:30 petang, di mana wad ini sebenarnya adalah wad bersalin awam HUSM. Mummy dimasukkan ke dalam bilik tetapi bilik itu dalam satu dewan yang ada deretan katil pesakit terbuka tu, jadi kita perlu melalui mereka setiap kali keluar masuk, sesuatu yang agak janggal dan mungkin mengganggu mereka, padahal  bagi pelanggan sayap swasta pula tentulah mahukan kebebasan keluar masuk.

Apabila dah berkongsi dalam wad sebegitu, nak keluar masuk pun susah tidak seperti wad hospital swasta lain, sebab untuk pelanggan sayap awam, mereka cuma ada masa melawat yang terhad, manakala bagi sayap swasta sepatutnya masa melawat lebih bebas.

Berkenaan bilik di Wad Akik 2 ni memang okay dan layanan doktor dan jururawat memang kelas pertama. Disediakan katil pesakit, sofa yang boleh dibaringkan, sejadah, air masak dan air panas, ada televisyen, ada pemanas air, ada penghawa dingin yang dibenci Master kerana Master tak suka hawa dingin, cuma mungkin tiada Wi-Fi sahaja.

Tiada Wi-Fi

Wi-Fi ni bukannya apa, Master perlukannya untuk siapkan kerja pejabat, manakala Tedi perlukannya untuk kemaskini blog apa yang patut. Tedi faham jika tiada wifi untuk sayap awam namun ia adalah satu kelemahan besar bagi sayap swasta yang mana pelanggannya dah berhabis duit membayar khidmat mereka.

Nasib baiklah rangkaian Celcom 4G di sini agak baik maka kami boleh tethering sahaja. Tethering ialah kongsi internet guna telefon pintar dengan menjadikan telefon pintar kita sebagai hotspot.

Hotspot kalau diterjemah secara langsung bermakna titik panas, tetapi dalam istilah internet ialah satu peranti yang membenarkan sambungan rangkaian internet.

Jalani Imbasan CTG

Sebaik sahaja dimasukkan ke wad selepas jam 3:30 petang, Mummy menjalani Imbasan CTG untuk kesan contraction. Jururawat kata ada sedikit contraction namun setelah diperiksa oleh Prof Nik Zaki, ternyata belum sampai waktunya lagi, jika sudah sampai, terpaksalah Mummy jalani pembedahan caesarian kecemasan.

Agak Susah Nak Masuk Wad bagi Peneman

Pada jam 6:30 petang lebih kurang, Master pergi ambil barangan dalam kereta. Waktu itu dari jam 6:00 petang sehingga jam 7:00 malam adalah waktu melawat maka Master dengan senang hati keluar masuk. Sebenarnya bagi pelanggan Klinik Usains boleh sahaja keluar masuk bila-bila masa sahaja cuma kena maklumkan melalui interkom.

Tapi Master dah malas nak guna benda alah tu sebab wad Akik ni bukan wad swasta jadi keutamaanya adalah bukan untuk layan pelawat bukakan pintu jika mereka nak masuk, akibatnya Master terpaksa tekan interkom beberapa kali barulah pintu tu dibuka. Pintunya pun dah uzur, Master tak tahu sama ada kunci tu dah terbuka belum, selalunya kita akan dengar bunyi apabila kunci pintu terbuka. Hal ini menyebabkan Master beberapa kali tolak pintu kemudian hampa kerana pintu masih berkunci. Hanya bahagian ni yang membuatkan Master bengang gunakan khidmat Klinik Eksekutif Usains HUSM ni.

Kalau wad awam seperti di Putrajaya pula pintu wad adalah pintu kaca jadi mereka akan perasan dan pantas bukakan pintu, tambahan Hospital Putrajaya memang ada kakitangan yang fokus untuk buka pintu.

Berbuka dengan Nasi Arab dan Nasi Lauk Ikan HUSM

Mummy berbuka dengan nasi arab yang ditempah daripada kawan beliau, mungkin suatu masa nanti Tedi akan karang sesuatu mengenai khidmat masak dan hantar nasi arab ni. Berbaloi bagi mereka yang mahu menjamu selera atau mahu menjamu orang ramai kerana ada jual set satu talam nasi arab berlaukkan ayam dan kambing.

Master pula berbuka dengan nasi yang disediakan hospital. Nasi berlaukkan ikan dan sayur. Mummy tanya sedap tak hidangan tu yang Tedi rasa agak tak sesuai pada bulan puasa ni setelah kita berpuasa melatih untuk kita bersyukur kemudian kita masih nak kategorikan makanan tu sedap ke tak. Puasa ni nak memberi kita bayangan macam orang susah tiada makanan, dan cuba bayangkan apa perasaan orang tak makan dapat makanan? Sepatutnya bersyukur alhamdulillah. Takkan sempat mereka nak fikir makanan tu sedap tak? Cukuplah ada makanan mengalas perut.

Master jawab OK.

Kemudian Mummy tanya sedap tak nasi arab tu?

Master jawab OK.

Surau Kontena HUSM

Master menunaikan solat fardhu Maghrib di Surau HUSM yang dibina daripada 2 buah kontena, sebuah kontena masing-masing untuk jemaah lelaki dan perempuan. Agak bijak pada pengamatan Tedi kerana ia tampak ringkas namun selesa. Setiap saf mungkin boleh memuatkan 20 orang dan ada 4 saf tidak termasuk imam.

Mencari Popia Goreng

Kemudian Master pergi keluar mencari makanan berupa popia goreng yang Mummy kirim. Tapi akhirnya Master beli colek campur yang kandungi popia goreng, kuih cucur, ayam goreng, paru-paru goreng, dan tauhu goreng.

Kadar bayaran tempat letak kereta yang Master bayar ketika mahu keluar ialah RM 7.80 ( tujuh Ringgit Malaysia dan lapan puluh sen sahaja) untuk 3 jam. Kadar sewaan letak kereta ialah 65 sen sejam. 15 minit pertama adalah percuma.

Master beli di gerai di kawasan flat berwarna hijau berhampiran Masjid Sultan Ismail Petra. Kedengaran imam membaca ayat al-Quran semasa mengetuai jemaah menunaikan solat sunat tarawikh.

Master tiba di gerai itu pun main ikut jalan ja, dan kemudian ketika menuju ke Hospital USM tu kelihatan banyak kedai makan di tepi jalan Jalan Raja Perempuan Zainab II.

Solat sunat tarawikh turut dilaksanakan di Surau Hospital USM, namun ketika Master tiba di sana sekitar jam 9:45, kelihatan sudah tiada jemaah. Barangkali di sana hanya ditunaikan solat sunat tarawikh 8 rakaat.

Pintu Pagar Wad HUSM Tutup Jam 10 Malam

Master keluar meninggalkan solat sunat tarawikh tadi kerana pintu pagar wad akan ditutup pada jam 10 malam jadi kena bergegas beli makanan. Mungkin boleh masuk selepas jam 10 malam tapi Master malas nak bersoal-jawab dengan polis bantuan atau pengawal keselamatan.

Malam ini Mummy kena berpuasa mulai jam 12 malam.

Aina Cirit-Birit

Mummy telefon Mak Lang Izzati mahu berbual dengan Aina tetapi Aina sudah tidur. Aina cirit-birit hari ni. Rindu pula gaduh dengan budak kecil tu.