Tarikh 21 Disember pada jam 7:28 malam seperti dicatatkan dalam garis masa Google map, menjadi detik malang buat kami kerana telah mengalami kemalangan di susur keluar ke Dengkil di Cyberjaya.

Kejadian ini berlaku ketika bayi Aina berusia 10 bulan 1 hari.

Master hilang ingatan bagaimana kejadian itu berlaku dan masih tak dapat mengingati dengan jelas.

Apa yang Master ingat adalah beliau memutuskan untuk tidak berhenti untuk solat Maghrib di RNR Seri Kembangan dan sebaliknya mahu menunaikan solat Maghrib di rumah.

Apa yang jelas dalam fikiran Master ialah sejurus selepas kemalangan ialah Master ternampak asap, kemudian Master mengeluarkan Aina dan dibawa ke belakang kereta oleh seorang lelaki (yang kemudiannya kami kenali sebagai Konstabel Shafiq dari IPK Kuala Lumpur).

Master kemudiannya membuka pintu belakang kiri dan Mommy keluar dari kereta.

Konstabel Shafiq mengarahkan Master mengumpul semua barangan berharga dengan bantuan beberapa orang di sana. Seorang staf Hospital Putrjaya memanggil ambulans kerana darah sedang mengalir keluar daripada dahi Aina yang terbelah.

Namun Konstabel Shafiq memutuskan untuk meminta sebuah kereta menghantar kami ke Hospital Putrajaya kerana beliau tahu ambulans lambat dan Aina kehilangan banyak darah. Kami percaya hanya orang berpengalaman sahaja akan membuat keputusan sedemikian.

Aina menangis dengan sangat kuat.

Gambar di bawah adalah keadaan kereta yang terputus bumbung.

Ini adalah gambar kereta yang membawa kami ke Hospital Putrajaya, terima kasih diucapkan, semoga kehidupan beliau sekeluarga diberkati dan dirahmati Allah.

Dalam perjalanan, Aina dua kali berhenti menangis dan seolah-olah mahu terlelap, Master mengejutkan Aina kerana dalam filem sering ditunjukkan bahawa jangan biarkan mereka yang kehilangan banyak darah tertidur atau tidak sedarkan diri.

Beliau menggegaskan kami ke Jabatan Kecemasan Wad Bersalin Hospital Putrajaya membuatkan staf di sana terkejut, namun tetap bertindak cemerlang menyambut ketibaan kami.

Staff nurse di sana menyambut Aina dengan menekup luka di dahi Aina, sesuatu yang Master tidak lakukan kerana tidak tahu dan tidak berani mengusik luka Aina. Menekup luka akan memberikan tekanan sekaligus mengurangkan pengaliran darah.

Master berjalan sendiri ke Jabatan Kecemasan yang sebenarnya, manakala Aina dan Mommy dibawa oleh staf Hospital Putrajaya.

Semasa mereka merawat Aina, Master ditemuduga tentang apa yang berlaku. Master tidak ingat sama sekali.

Master kemudiannya menerima rawatan cucian mata yang dimasuki kaca. Alhamdulillah mata Master tiada apa-apa, agak ajaib sedangkan selalunya kalau masuk debu sikit pun dah pedih, tapi ini masuk kaca, mata Master terselamat.

Master juga menerima imbasan CT. Tiada sebarang kecederaan di kepala.

Pak Lang Epul tiba dari Nilai.

Pak Ngah Shah dan Mak Ngah Zira tiba dari Puchong.

Tok Mak, Tok Ayah, Pak Su Jim tiba dari Negeri Sembilan.

Tok Ma dan Tok Abah tiba dalam jam 1 pagi dari Kelantan dengan penerbangan MAS.

20171221