CC Kucing Klon Pertama di Dunia
Revolusi Klon: Dolly & Penduduk Dunia
Oleh NAJIBAH HASSAN
ENAM tahun lalu, kelahiran Dolly kambing biri-biri betina yang berjaya diklonkan mendapat perhatian dunia kerana ia dianggap sebagai kejayaan pertama bidang teknologi sains pengklonan.
Kelahirannya yang hanya diumumkan setahun selepas dilahirkan telah mencetuskan kontroversi dan kebimbangan penduduk dunia yang membantah cubaan ke arah pengklonan manusia.
Selain Dolly, banyak lagi haiwan mamalia lain yang turut terlibat dalam percubaan pengklonan termasuk kambing, tikus, babi dan lembu. Semuanya tidak membuahkan hasil kerana kebanyakan haiwan yang dihasilkan daripada teknologi ini mempunyai banyak implikasi besar seperti menghidap penyakit-penyakit tertentu dan kecacatan.
Kucing Klon Pertama: Carbon Copy (Cc)
Rentetan daripada kelahiran Dolly, dunia teknologi pengklonan sekali lagi mencatatkan kejayaan apabila para saintis yang diketuai oleh Dr. Mark Westhusin dan pasukannya dari Universiti A & M Texas, Amerika Syarikat buat julung kalinya berjaya mengklonkan haiwan peliharaan manusia iaitu kucing.
Anak kucing betina berusia dua bulan dua hari dikenali sebagai Carbon Copy (Cc) adalah spesies mamalia keenam terhasil daripada teknik pemindahan nuklear. Daripada 87 embrio kucing yang diklon, hanya Cc yang berjaya dihasilkan dan diimplan ke rahim ibu tumpang.
Impak Kesihatan & Bantahan Etika
Cc dilahirkan pada 22 Disember tahun lalu oleh ibu tumpang Allie. Eksperimen ini dibiayai oleh pakar kewangan John Sperlin (81) yang merancang mengenakan bayaran kepada pemilik haiwan. Namun, Derek Conway dari Pertubuhan Perlindungan Kucing UK membantah kerana ia mengganggu proses semula jadi dan menjadikan haiwan sebagai perniagaan semata-mata.
Dolly di Scotland pula dilaporkan menghidap artritis pada pinggul di usia muda. Di Jepun, 10 daripada 12 tikus klon mati muda akibat pneumonia dan kegagalan hati.
Risiko Tinggi Pengklonan Manusia
Rancangan Prof. Panayiotis Zavos dan Prof. Severino Antinori untuk mengklon manusia mencetuskan provokasi moral. Teknologi ini terbukti sangat berisiko; hampir sebahagian besar kehamilan klon berakhir dengan kematian janin atau rahim ibu terkoyak akibat pertumbuhan abnormal.
Ulasan