بِسْـــــــــمِ ﷲِالرَّحْمَنِ الرَّحِيم

ALOR SETAR: Ketua jurulatih Kedah FA, Aidil Sharin Sahak yakin skuad Lang Merah masih kukuh meskipun berhadapan tekanan isu gaji tertunggak dan berita mengejut mengenai seorang pemain Kedah FA mahu meninggalkan pasukan itu.

Menurutnya segala isu yang dihadapi skuad Kedah FA tidak sesekali akan melemahkan semangat dan mengganggu persiapan pasukan Kedah FA dalam menjalani semula latihan yang dijadualkan 23 Jun ini.

Saya sentiasa berhubung rapat dengan semua pemain Kedah FA untuk mengetahui permasalahan yang mereka hadapi termasuk isu tunggakan gaji, selain pemain senior turut berperanan mengukuhkan persefahaman pasukan.

"Saya percaya dengan perkembangan positif yang ditunjukkan ini mampu mengukuhkan lagi perhubungan dan keyakinan setiap pemain yang ada dalam pasukan." katanya.

Aidil juga yakin berita mengenai seorang pemain yang mahu meninggalkan Kedah FA seperti yang tersebar semalam tidak akan mengganggu keharmonian serta keyakinan pasukan Kedah FA.

Dalam pasukan, tidak ada pemain yang lebih besar daripada pasukan dan apa yang lebih penting dan utama adalah meneruskan keutuhan dan kekuatan Kedah FA dalam menghadapi apa juga rintangan yang ditempuhi.

Berkaitan tarikh latihan pula, Aidil memaklumkan skuadnya sudah memaklumkan semua pemain untuk melakukan memulakan latihan selepas memperoleh kebenaran mengadakan latihan tanpa sentuhan bermula 15 Jun ini.

"Kedah FA akan memulakan latihan pasukan 23 Jun ini selepas semua pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) diberi kebenaran untuk kembali menjalani latihan tanpa sentuhan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kami sedang mempersiapkan diri untuk mengikuti dan mematuhi setiap peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang akan ditetapkan pihak berkuasa dalam menangani COVID-19," katanya.


Sumber daripada artikel "Kedah tak patah kaki" yang disediakan oleh Izzali Ismail, Berita Harian. Jumaat, 12 Jun 2020 | 11:37pm, 20200612.