KUALA LUMPUR: Takaful Ikhlas Bhd yang kini dikenali dengan nama baharu Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS Family) mengumumkan penukaran lesen takaful kompositnya kepada dua entiti untuk menguruskan perniagaan takaful keluarga dan perniagaan takaful am secara berasingan.

Penukaran itu adalah selaras dengan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam, 2013 (IFSA).

Penyedia perkhidmatan perlindungan kewangan Islam berlandaskan prinsip Syariah itu menerusi kenyataannya berkata, perniagaan takaful amnya akan diuruskan oleh entiti baru, Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful IKHLAS General).

“Langkah ini dirangka untuk membawa pendekatan lebih fokus dan terbaik dalam memberikan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Struktur baharu ini juga mencerminkan komitmen Takaful IKHLAS terhadap perniagaannya dalam memastikan pengurusan modal dan sumber yang cekap untuk mewujudkan peluang pertumbuhan yang berterusan,” katanya di sini, hari ini.

Bagi memimpin struktur korporat baharu itu, Takaful IKHLAS berkata, lembaga pengarah telah mengumumkan pelantikan Mohd Din Merican sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS Family dan Eddy Azly Abidin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS General.

Eddy Azly sebelum ini adalah Naib Presiden Kanan & Ketua Pegawai Operasi Perniagaan Am Takaful IKHLAS.

Sementara itu, Mohd Din berkata, pelantikan itu adalah tambahan kepada peranan beliau sebagai Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Bhd.

“Walaupun kami kini beroperasi sebagai dua entiti yang berasingan, kami akan terus membawa jenama "Takaful IKHLAS" dan komited dalam memberikan yang terbaik kepada pelanggan serta memacu nilai jangka panjang pemegang saham,” katanya

Beliau berkata, semua terma dan syarat sijil takaful sedia ada yang dikeluarkan oleh Takaful IKHLAS dikekalkan bagi memudahkan urusan pelanggan mereka.

Oleh Nurhayati Abllah