LEICESTER – Pengurus Leicester City, Claude Puel mengakui beliau sentiasa menghormati Newcastle United dan Rafa Benitez menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Perdana England malam ini.

gambar pemain Leicester City - King Power - tiang gol - padang bola sepak - jersi warna biru - maskot musang - penjaga gol

The Foxes bakal melakukan kunjungan ke Stadium St. James Park malam ini dengan sasaran mencatat tiga kemenangan berturut-turut sejak diambil alih Puel Oktober lalu.

Bagaimanapun, bekas pengendali Southampton itu menegaskan beliau tidak akan memandang rendah kemampuan Newcastle biarpun pasukan tersebut sering menampilkan aksi kurang konsisten.

“Kami sentiasa menghormati pasukan seperti Newcastle. Mereka merupakan sebuah pasukan yang berkualiti serta memiliki pengurus berkaliber.

“Mereka bermula dengan agak baik pada saingan musim ini dan sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas pantas, jadi kami perlu berwaspada dengan permainan mereka,” kata Puel.

Jurulatih dari Perancis itu berkata, mereka bakal berdepan cabaran sukar pada aksi malam ini memandangkan Newcastle bakal menerima sokongan daripada 50,000 penyokong tuan rumah.

“Sudah pasti penyokong-penyokong mereka bakal mewujudkan satu suasana yang mencabar untuk kami. Bagaimanapun, kami anggap ia sebagai cabaran yang membakar semangat pemain-pemain,” ujarnya. – Agensi