Bagaimana Memilih Kasut Badminton?

Ini adalah satu soalan yang sangat baik kerana kasut badminton adalah nadi kepada permainan badminton di samping raket. Ramai orang yang membeli raket yang terbaik untuk bermain badminton tetapi mengabaikan kasut yang mereka pakai di dalam gelanggang badminton.

Kasut badminton yang baik akan membantu kita bergerak dengan cekap di dalam gelanggang. Kasut badminton yang baik juga akan mengelakkan kita daripada tergelincir apabila beraksi menentang seteru di dalam gelanggang.

Apa yang penting adalah kasut badminton yang kita pakai seharusnya membantu kita bergerak ke mana-mana arah.

Gambar ciri-ciri kasut badminton Adidas Feather Tech warna kuning hitam

Tapak Kasut Badminton

Perkara yang paling penting tentang kasut badminton adalah daya tarikan dan cengkaman.

Pemilihan tapak kasut badminton yang betul akan bergantung kepada gelanggang yang digunakan. Secara umumnya kita bermain menggunakan gelanggang kayu, PU, dan juga simen.

Permainan di gelanggang kayu dan PU memerlukan cengkaman, maka kita memerlukan tapak kasut getah melekit. Jika tiada kasut badminton, kita boleh gantikan dengan kasut bola tampar untuk kedua-dua gelanggang ini.

Tapak kasut getah melekit amat mudah mengumpul kotoran dan apabila ia berlaku, cengkaman akan berkurangan menyebabkan tapak kasut menjadi licin. Sebahagian pemain akan membawa tuala untuk mengelap tapak kasut mereka apabila ia terjadi.

Permainan di gelanggang simen pula memerlukan kasut bertapak getah yang biasa, boleh digantikan dengan kasut tenis jika terpaksa.

Bagi mereka yang tidak tahu ciri-ciri fizikal tapak kasut badminton, anda perlu mencari kasut dengan tapak yang lebar dan tidak tinggi, untuk menyokong tapak kaki kita semasa bergerak. Ia berbeza dengan kasut jogging atau kasut berlari yang mempunyai tapak yang tebal dan kurang lebar.

Jika tak jumpa kasut yang dilabel sebagai kasut badminton, boleh pilih kasut yang dilabel "court" dan juga "training". Jangan gunakan kasut jogging kerana anda mungkin akan terseliuh dibuatnya!

 Alas Dalam (Kusyen)

Aha.... ini juga penting terutamanya jika anda selalu melakukan jumping smash! Tapi kalau tak selalu buat jumping smash ia tetap penting juga kerana kita akan menggunakan tumit dengan banyak terutama untuk pergerakan ke belakang.

Kasut dengan kusyen yang baik akan menyerap hentakan dengan baik apabila kita melakukan pergerakan pantas. Jika tiada kusyen yang baik, anda mungkin akan sakit tumit.

Ringan

Kasut badminton yang baik tentunya yang ringan kerana ia membolehkan kita bergerak pantas. Kalau ringan seperti kasut Nike Free tentunya lebih bagus.

Saiz

Apakah mengarut Tedi ni? Nak beli kasut tentulah kena beli dengan saiz yang betul, dan tentunya kawan-kawan lebih mengerti apakah saiz kasut kalian.

Tak kisahlah, apa yang Tedi nak tekankan di sini ialah kasut badminton yang dibeli seharusnya tidak ketat, kalau boleh muat ibu jari di antara kaki dan kasut adalah lebih bagus, kerana anda akan memakai stokin juga nanti, dan stokin badminton yang Tedi suka adalah yang tebal.

Selain itu kelebaran kasut juga penting, kerana kita bukan sahaja akan bergerak ke hadapan dan ke belakang, tetapi juga ke kiri dan ke kanan semasa bermain badminton.

Rumusan

Untuk mencari kasut badminton yang baik pastikan tapaknya adalah lebar dan mencengkam, tapak tidak setebal tapak kasut jogging sehingga menyebabkan kita tidak stabil. Pastikan kusyennya bagus untuk menyokong tumit anda, ianya ringan dan tidak menghalang anda melompat dan menerkam laksana harimau, dan saiznya selesa tidak ketat.

Itu sahaja celoteh Tedi pasal pemilihan kasut badminton, semoga kita semua mampu membeli kasut badminton dengan ciri-ciri yang Tedi ceritakan tadi... hehehe...