Seharian Tedi menyedut sampah-sarap dan debu-debu dalam rumah.


Bukanlah Tedi menyedut kesemua benda itu menggunakan muncung Tedi yang mancung ni.

Semestinya Tedi menggunakan penyedut hampagas yang omputeh sebut "vacuum cleaner".

Cikgu Tedi ajar yang vakum ini adalah ruang tanpa udara seperti angkasa lepas, tapi sampai sekarang Tedi tak pernah sampai pun ke angkasa lepas tu. Angkasa lepas tu terletak di negara mana pun Tedi tak tahu.

Lain kali Tedi ajaklah Master dan Mommy pergi makan angin di angkasa lepas.

Tapi cikgu kata tiada udara di sana? Jadi mungkin tiada anginlah? Macam mana nak makan angin?

Selain sampah dan debu, Tedi juga menyedut seekor lipas yang berkeliaran.

Cuma satu je Tedi tak sanggup nak sedut iaitu sesawang labah-labah beserta labah-labah dan anak-anak beliau.

Sarang Labah-labah senjata Allah subhanahu wa ta'ala melindungi hijrah Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam.

Logo sambutan Ma'al Hijrah menggunakan sarang Labah-labah sebagai latar belakang kerana sumbangan sarang labah-labah kepada peristiwa hijrah Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam. Boleh sahaja nak letak labah-labah atau gambar Burung Merpati, tetapi seni dalam Islam tidak meletakkan gambar-gambar haiwan dalam sebarang hiasan.

Bukannya apa, Tedi terkenang kisah hijrah Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam bersama Khulafa ar-Rasyidin yang pertama, Abu Bakar as-Siddiq.

Ceritanya panjang, tapi kawan-kawan mesti tahu yang Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam bersembunyi di dalam sebuah gua.

Ketika itulah datang labah-labah dan burung Merpati membuat sarang di pintu gua.

Ketika itu ada seorang penjejak atau kita panggil spy yang cukup hebat. Dia berjaya menjejak di mana Rasulullah sollallahu a'laihi wassalam berada, namun apabila sahaja kaum kafir melihat sarang Labah-labah dan Burung Merpati itu, mereka tak percaya akan penemuan lelaki itu.

Ini adalah kerana sungguh mustahil bagi mereka untuk manusia masuk ke dalam gua itu tanpa menjejaskan sarang Labah-labah dan mengganggu ketenteraman Burung Merpati itu.

Hasilnya Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam terselamat (atau dilindungi Allah subhanahu wa ta'ala) dengan hanya oleh satu sarang  yang sungguh rapuh.

Hebatnya Allah subhanahu wa ta'ala, cukup dengan sarang Labah-labah dan kehadiran Burung Merpati, berjaya mengelakkan Nabi Muhammad sollallahu a'laihi wassalam daripada ditemui.

Tak mengapalah, Tedi biarkan sahaja sarang Labah-labah ni dulu.

***

20131123