KEDAH mempamerkan kebangkitan luar biasa untuk mengatasi MIFA 3-2 pada aksi ketiga Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Darul Aman sebentar tadi.

Pada perlawanan tersebut, pemain tengah MIFA, Beomgeun Bae mencuba dari luar kotak penalti pada minit ke-3 namun mudah diselamatkan penjaga gol Kedah, Abdul Hadi Hamid.

Liridon menjaringkan dua gol buat Kedah.

Liridon menjaringkan dua gol buat Kedah. - Foto oleh AHMAD ZAKI OSMAN

Kedah membalas serangan menerusi Syazwan Zainon pada minit ke-9 namun lepakan leretnya terus ke dakapan penjaga gol pelawat, Mohd Muhaimin Mohamad.

Pada minit ke-15, L Iman Seydi hampir meletakkan MIFA di hadapan namun percubaannya terkena tiang tuan rumah.

Gol yang diburu MIFA akhirnya muncul pada minit ke-27 menerusi Sherman yang menolak masuk hantaran cantik Bae untuk kedudukan pelawat di hadapan 1-0.

Pelawat berpeluang menjarakkan jurang  kedudukan apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-38 selepas Sherman dijatuhkan dalam kotak penalti oleh Nurfiqrie Abdul Talib.

Bagaimanapun Abdul Hadi berjaya menyelamatkan sepakan penalti yang gagal disempurnakan Elizeu Arajou.

Gol penyamaan 1-1 akhirnya muncul pada minit ke-42 menerusi Liridon Krasniqi yang berjaya menjaringkan sepakan penalti selepas Sandro Da Silva dijatuhkan dalam kotak penalti.

Separuh masa kedua bermula, MIFA berjaya berada di hadapan 2-1 hasil jaringan sendiri pemain Kedah, Syazwan Tajudin yang berusaha menghalang percubaan Bae pada minit ke-47.

Bagaimanapun Kedah menyamakan kedudukan 2-2 menerusi rembatan Liridon pada minit ke-59 hasil hantaran Asri Mardzuki.

Tuan rumah akhirnya berjaya mengatasi MIFA selang enam minit kemudian hasil sepakan cantik Sandro untuk kedudukan Kedah di hadapan 3-2.

Hasil sokongan lebih 2,500 penyokong setia Hijau Kuning berjaya membantu pasukan itu untuk kembali menghidupkan peluang mara ke peringkat seterusnya.

 

WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR, SINAR HARIAN