Berapakah masa yang sesuai untuk memanaskan enjin kereta pada waktu pagi?
Selain itu, apakah kesan jika membasuh enjin kereta? Ini kerana saya dimaklumkan enjin akan terjejas jika kerap membasuhnya.
Rahmat, Kuala Lumpur.
Jawapan:
Ada beberapa pendapat berhubung pemanasan enjin pada waktu pagi sebelum memulakan perjalanan. Malah ada pendapat yang menyatakan bahawa ia tidak diperlukan.
Namin, sebenarnya ia berfungsi seperti manusia yang perlu memanaskan badan sebelum melakukan aktiviti bagi mengelakkan kejutan.
Kenderaan yang direhatkan semalaman akan menyebabkan komponen logam mengecut sedikit. Bergantung kepada lokasi dan kegunaannya, ini akan menjadikan komponen itu lebih ketat atau longgar.
Memanaskan enjin cukup sehingga pusingan enjin melahu dengan tenang.
Pemanasan enjin kadangkala hanya mengambil masa lima minit bagi enjin moden yang mempunyai injap pemanas dalam sistem penyejukannya. Injap itu akan menghalang bahan cecair penyejuk enjin daripada mengalir supaya lebih cepat panas ke suhu operasi.
Perlu dipertimbangkan juga bahawa semua minyak pelincir yang berada pada dinding enjin mungkin berada dalam takungan selepas dibiarkan semalaman.
Oleh itu elakkan daripada membebankan enjin selepas dihidupkan pada waktu pagi bagi mengelakkan kehausan yang mungkin berpunca daripada kekurangan minyak pelincir.
Gambar asap kenderaan berkepul-kepul keluar daripada ekzos
Tidak salah untuk membersihkan ruang enjin tetapi ia perlu dilakukan dengan cara yang betul dan teratur.
Enjin kereta diperbuat daripada bahan logam yang berubah bentuk sekiranya mengalami perubahan suhu enjin mendadak. Jika enjin masih panas, elakkan menyiramnya dengan air sejuk atau meredah air yang dalam.
Ini mungkin menyebabkan kerosakan kekal pada beberapa komponen enjin sekaligus mengakibatkan kegagalan beroperasi atau kebocoran pelapik.
Justeru, pastilan enjin anda sudah sejuk sedikit sebelum membasuhnya dan elakkan membasahi bahagian elektrik.
Sambungan elektrik yang terlalu basah boleh mengakibatkan litar pintas pada bahagian voltan tinggi seperti litar palam pencucuh.
Selain itu enjin mempunyai lubang kemasukan udara. Pastikan ia tertutup sebelum anda membasuh ruang berkenaan.
*** Sumber: Metro Ahad, Vroom, Skru dan Spanar, 19 Jun 2016 oleh Ahmad Salihin Abd Rahim.